Syafil Syazwan Jefri


PELUANG untuk menjalani uji bakat menjadi peluang besar buat seseorang pelakon lebih-lebih lagi untuk watak filem antarabangsa.

Bagi Raja Ilya, dia juga ingin mendidik peminat yang mengikuti perkembangan industri seni supaya memahami hakikat itu.

Pernah menerima jemputan untuk menyertai sesi uji bakat bagi beberapa filem dan siri bertaraf antarabangsa, Ilya yang kini menetap di Australia berkongsi pengalamannya.

"Untuk orang dalam industri perfileman, uji bakat adalah satu peluang yang besar. Bagi pelakon yang mencari peluang dan dapat menyertai uji bakat di luar negara, saya boleh katakan ia adalah platform besar," katanya.

Menurut Ilya, mendapat jemputan untuk menyertai sesi uji bakat untuk filem luar negara adalah satu pencapaian.

"Bagi saya, itu adalah satu pencapaian. Itu cara untuk saya berjumpa ramai orang (penggiat seni antarabangsa)," katanya.

Namun, dalam pada meraikan kegembiraannya itu, timbul rasa kesal apabila berita gembira itu digunakan untuk memperlekehkannya.

"Setiap kali saya dihubungi atau di mana-mana majlis, saya akan ditanya mengenai perkembangan terbaru saya. Mesti saya nak kongsikan kegembiraan itu.

"Namun, saya belajar satu perkara bahawa tak semua orang adalah kawan baik kita. Kesilapan daripada pihak saya juga sebab saya tak sepatutnya berkongsi. Kerana perkongsian berita gembira itu saya dikecam," katanya.

Mengimbau kenangan yang berlaku pada 2018 itu, Ilya juga sebelum ini pernah berpeluang menghantar video uji bakat untuk beberapa karya besar pada tahun sama.

"Saya pernah diminta untuk menghantar video uji bakat bagi tiga karya. Pertama adalah filem Star Wars: The Rise of Skywalker (juga dikenali sebagai Star Wars: Episode IX - The Rise of Skywalker). Namun, tak ada sebarang maklum balas.

"Kedua, saya diminta lagi untuk menghantar video uji bakat bagi filem Jurassic World 3 dan sama juga, tak ada sebarang maklum balas. Seterusnya, saya sekali lagi dijemput untuk menghantar video uji bakat untuk satu karya berjudul Miss Marvel dan wataknya sebagai Kamala Khan.

"Untuk uji bakat itu, saya disenarai pendek, namun tidak ada maklum balas. Saya anggap tidak ada rezeki pada waktu itu sebab saya tahu, ada beberapa pelakon lain dari India yang turut disenarai pendek," katanya.

Yang pasti, Ilya sentiasa mengharapkan supaya peminat filem dan pengikut industri seni memahami situasi yang berlaku dalam kalangan pelakon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:31 AM