SARAT nilai dan mesej.
SARAT nilai dan mesej.

FILEM: Raya and the Last Dragon

PENGARAH: Don Hall dan Carlos Lopez Estrada

PENULIS SKRIP: Qui Nguyen dan Adele Lim

PELAKON: Kelly Marie Tran, Awkwafina, Izaac Wong, Gemma Chan, Daniel Dae Kim, Benedict Wong, Sandra Oh, Thalia Tran, Lucille Soong dan Alan Tudyk

TERBITAN: Walt Disney, Walt Disney Animation Studios

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

KETIKA pertama kali membaca berita mengenai penghasilan filem animasi Raya and the Last Dragon ini, hati sudah mula tertarik untuk menonton.

Apabila diumumkan bahawa ia kini ditayangkan, bertambah teruja untuk melangkah ke pawagam dan menontonnya sendiri.

Satu perkara yang menarik perhatian penulis adalah seorang penulisnya iaitu Adele Lim adalah anak Malaysia dan sebelum ini namanya cukup dikenali menerusi filem Crazy Rich Asians.

Raya bermaksud perayaan atau keraian dan itu yang cuba dipaparkan dalam filem animasi ini iaitu meraikan perbezaan dan penyatuan.

Dari segi jalan cerita, secara ringkasnya, Raya and the Last Dragon berkisar mengenai negara Kumandra yang sebelum ini bersatu, kini berpecah belah.

Raya, anak kepada Chief Benja yang juga ketua di daerah Fang kini bertanggungjawab untuk menyelamatkan keadaan selepas bapanya turut terkena sumpahan daripada makhluk jahat bernama Druun.

Raya perlu mencari naga terakhir bernama Sisu yang mampu meleraikan sumpahan Druun, sekali gus menyelamatkan Kumandra.

ANTARA babak dalam filem ini.
ANTARA babak dalam filem ini.

Namun, perjalanannya tidak semudah yang disangka kerana Raya perlu berdepan pelbagai halangan daripada puak di daerah lain.

Jalan ceritanya begitu dekat sekali dengan hati peminat karya Disney yang mempertaruhkan karakter puteri yang ingin menyelamatkan keadaan. Namun, ideanya lebih segar.

Saat menonton, penulis berasa seperti filem ini sangat dekat dengan kita terutama masyarakat Asia Tenggara memandangkan latar belakangnya adalah di Asia Tenggara.

Pakaian, makanan, hutan, seni bina, bahkan perbuatan yang ditunjukkan dalam Raya and the Last Dragon juga sangat dekat dengan kita.

Ada juadah makanan seperti nasi, sate dan sup seperti tom yam menjadi isi dalam cerita ini.

Pakaian dan busana yang dikenakan karakter dalam filem animasi ini juga begitu dekat dengan budaya Asia Tenggara apabila menampilkan songket serta pedang berbentuk keris sebagai senjata.

Seni bina bangunan dalam filem ini juga rasa seperti saya sedang menonton filem epik tempatan apabila ada seni bina Thai, sedikit sentuhan Minangkabau dan ada juga ciri-ciri yang kita dapat lihat daripada seni bina istana Melaka.

FILEM yang meraikan penyatuan dan perbezaan.
FILEM yang meraikan penyatuan dan perbezaan.

Kualiti animasi dari Walt Disney tidak perlu dipertikaikan lagi. Dalam filem ini juga, kualiti animasinya sangat bermutu tinggi dan sangat teliti penghasilannya.

Ada ketikanya, penulis seperti terlupa sedang menonton filem animasi.

Dari sudut pengajaran cerita, ada beberapa mesej yang dapat diketengahkan. Antara yang paling jelas adalah mengenai kepercayaan kepada seseorang dan bagaimana rasa dikhianati mampu membunuh kepercayaan itu.

Apa yang pasti, Raya and the Last Dragon mampu menjadi karya yang membuka tirai pawagam tanah air selepas kerajaan mengumumkan mengenai pembukaan semula sektor itu, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:36 AM