GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sudah mengenal pasti kira-kira 300 guru di negeri ini yang belum bersedia menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Anismah M Noh berkata, jumlah itu hanya membabitkan 0.7 peratus berbanding jumlah keseluruhan guru berkhidmat di negeri ini.

"Kami mempunyai 61,000 guru di seluruh Selangor. Hanya kira-kira 300 guru yang belum bersedia dan memberi pelbagai alasan peribadi.

"Oleh itu, kami nasihatkan mereka supaya mengambil vaksin dengan kadar segera dengan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan datang secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat sebelum sesi persekolahan dibuka pada 4 Oktober depan," katanya, hari ini.

Anismah ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Prestij Pembelajaran 2021 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Tan Sri Noh Omar dan Pegawai PPD Kuala Selangor, Mohd Azuan Mohd Nawawi.

Beliau berkata, pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi memastikan guru dapat mengajar secara bersemuka.

"Di pihak kami (JPNS), ketetapan adalah sama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mana guru belum vaksin dikehendaki datang ke sekolah seperti biasa, tetapi tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas.

"Bagaimanapun, mereka (yang belum divaksin) digalakkan mengajar murid secara dalam talian kerana bimbang sekiranya interaksi secara bersemuka boleh mendatangkan kesan atau jangkitan," katanya.

Menurutnya, JPNS menggunakan pelbagai pendekatan termasuk mewujudkan 'task force' untuk menasihati dan membimbing guru supaya mengambil vaksin Covid-19.

"Kita melaksanakan pelbagai program mendekati golongan ini menerusi kaedah nasihat.

"Cara ini bukan sahaja menjaga diri, tetapi masyarakat sekeliling dan orang-orang yang kita sayangi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 8:35 PM