Aepul Roza
Aepul Roza
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Drama Band, Aepul Roza, 33, masih lagi tiada deria bau dan rasa selepas dia dijangkiti Covid-19 pada 14 Januari lalu.

Aepul ketika dihubungi berkata, ketika ini dia sudah boleh makan sedikit dan berasa tahap kesihatannya makin pulih selepas dua minggu menjalani kuarantin di rumahnya.

Selain Aepul, anak perempuannya, Nur Saffiya Alisha, 5, juga positif virus itu dan sebaik selesai kuarantin mereka perlu ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) membuat pemeriksaan untuk pengesahan.

"Alhamdulillah, saya sudah boleh makan sikit-sikit, tapi deria bau dan rasa masih belum ada. Alisha pula, dia okay sahaja dan boleh makan dan minum seperti biasa,

"Syukur, selama kami menjalani kuarantin, Alisha memang aktif dan saya sangat bersyukur dia tidak mengalami apa-apa simptom yang berat," katanya kepada Harian Metro.

Aepul berkata, dia juga sudah mula bekerja membuat pelbagai aktiviti seni secara 'online'.

"Walaupun deria rasa dan bau belum okay, tapi semangat sudah kembali untuk mula bekerja seperti biasa. Saya sudah berehat dengan cukup lebih seminggu lalu. Sekarang pun saya sedang bekerja secara maya.

"Saya bersyukur kerana kuat melalui dugaan ini bersandarkan semangat daripada isteri, Leez Rosli untuk bangkit semula demi keluarga kecil kami," katanya.

Bercerita keadaan dirinya sepanjang menjalani kuarantin , Aepul berkata, satu cabaran besar buatnya apabila mula tiada deria rasa.

Katanya, ketika itu dia tak boleh makan langsung, lebih-lebih lagi dia sangat cerewet mengenai makanan.

"Tak sedap sikit pun, saya tak makan. Jadi, bila sudah tiada deria rasa dan bau, macam mana nak ada selera.

"Sekarang, saya rasa berat badan sudah turun banyak. Saya tak berani nak timbang lagi buat masa ini sebab makin kurus," katanya yang juga bakal menimang anak kedua apabila isterinya kini hamil enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 4:39 PM