WAWA dan Aeril bersama anak mereka. FOTO IG Wawa Zainal
WAWA dan Aeril bersama anak mereka. FOTO IG Wawa Zainal
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan ahli perniagaan, Wawa Zainal berjaya membuktikan berkahwin pada usia muda bukan penghalang untuk dirinya hidup bahagia atau dibelenggu kesusahan.

Wawa berkata, setiap perkara yang pernah diperkatakan itu menjadikan dia seorang individu yang kuat serta gigih berusaha lebih keras untuk mencapai kejayaan.

"Pernah tak orang pandang rendah pada kalian? Saya juga pernah. Tapi kata-kata mereka itu, kita jadikan semangat untuk berusaha lebih lagi. Jangan pernah murung.

"Dan ketika kita dah capai apa yang diimpikan dan ketika kita sudah punya segalanya, janganlah sombong dan terlalu bangga dengan apa yang kita ada dan jangan pernah memandang rendah pada orang lain," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Wawa, masih segar dalam ingatan apabila ada yang mengatakan hidupnya akan susah dan perkahwinan tidak akan kekal lama kerana keputusan berkahwin diusia muda.

"Tapi kata-kata mereka saya jadikan pembakar semangat untuk terus melangkah, terbang lebih tinggi dan hari ini Alhamdulillah saya berjaya buktikan yang saya juga boleh berjaya.

"Selepas ini, impian saya nak bantu orang lebih ramai lagi. Teruskan usaha, jangan putus asa ketika orang pandang rendah okay," tulisnya.

Wawa berkahwin dengan pelakon Aeril Zafrel ketika dia berusia 21 tahun, manakala suaminya, berumur 24 tahun. Pasangan bahagia ini juga dikurniakan tiga cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:33 PM