Rumahtangga Wawa dan Aeril masih utuh.
Rumahtangga Wawa dan Aeril masih utuh.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Wawa Zainal menafikan khabar angin rumah tangganya dengan pelakon Aeril Zafrel bergolak.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 25, berkata dia dengan suami masih bahagia dan menegaskan cerita hangat diperkatakan di laman blog serta media sosial itu tidak benar sama sekali.

"Adat rumah tangga gaduh-gaduh manja itu biasa.

“Tapi tidaklah sampai mahu bercerai. Saya dan suami sentiasa berdoa semoga perkahwinan ini kekal berpanjangan.

"Saya terharu apabila ramai mendoakan kami apabila isu ini timbul. Harap peminat juga doakan yang baik-baik buat kami,” katanya kepada Harian Metro.

Wawa yang juga pelakon filem 99 Kali Rindu ini menyeru pengguna laman sosial tidak terlalu cepat mempercayai berita yang tersebar tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Saya tahu segelintir blogger menggunakan tajuk sensasi bagi menarik perhatian pengguna supaya membuka dan membaca blog mereka. Jadi, saya menyarankan orang ramai baca dahulu isi kandungan cerita itu sebelum membuat spekulasi sendiri.

"Pada masa sama apabila sudah membaca jangan pula ringan tangan dengan menjadi pejuang papan kekunci. Sia-sia saja kerana mendapat dosa percuma," katanya.

Wawa turut menafikan dia merajuk dan cemburu melihat lakonan suaminya bersama Ummi Nazeera dalam drama Patahnya Sebelah Sayap yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.

"Saya pun tak faham macam mana isu ini boleh timbul. Kalau saya cemburu, dari awal lagi saya tidak membenarkan suami berlakon dengan orang lain. Mengenai percutian ke Korea yang kononnya dia mahu memujuk saya, itu pun tak betul.

"Kalau nak tahu, percutian itu sudah lama dirancang. Malah ia tidak ada kaitan langsung dengan istu itu,” katanya.

Terdahulu Wawa memuat naik status berbentuk luahan hati di laman Instagram miliknya sehingga mengundang tanda tanya netizen.

Malah status itu dikongsi beberapa pihak dengan meletakkan tajuk yang seolah-olah menggambarkan rumah tangga pasangan ini sedang bergolak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 5:54 PM