ALOY Paradoks.
ALOY Paradoks.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penulis skrip Teater Korupsi Dewan Semandung, Aloy Paradoks meluahkan kekecewaannya apabila sehingga kini belum menerima sebahagian lagi daripada bayaran penuh daripada produksi Ogy Ventures & Network milik Fauziah Ahmad Daud atau Ogy. 

Aloy ketika dihubungi berkata, dia hanya menerima dua pertiga daripada bayaran penuh dan kali terakhir adalah pada Mac tahun lalu. 

"Setakat ini, ada baki satu pertiga lagi bayaran yang belum dilunaskan. Kali terakhir dia buat bayaran adalah pada Mac tahun lalu. 

"Selain saya, ada beberapa pihak lain yang juga belum menerima bayaran penuh dan kalau tak salah saya, pihak katering pun tak dapat lagi," katanya kepada Harian Metro. 

Ditanya sama ada dia menghubungi Ogy secara peribadi, Aloy berkata, dia tidak perlu berbuat demikian kerana Ogy juga ada dalam kumpulan WhatsApp yang diwujudkan.

"Semuanya kami bincang di situ kerana biar semua perbincangan adalah telus. Jadi, dia pun tahu mengenai perbincangan serta tuntutan bayaran, namun tak pernah memberi sebarang maklum balas. 

"Ada juga artis-artis dan kru yang dah dapat bayaran penuh, tapi bukan orang belakang tabir seperti saya. Saya tak tahu sama ada dia menyimpan dendam dengan saya sebab saya orang pertama yang menaikkan isu ini atau dia bayar artis-artis kerana nak tutup mulut mereka daripada bersuara," katanya. 

Aloy juga menulis ciapan mengenai perkara ini di Twitternya semalam. 

"Saya bukan nak cetuskan apa-apa, sebaliknya nak betulkan keadaan. Saya sendiri jadi malu dengan diri sendiri sebab setiap kali saya taip nama saya di Google, bukan karya-karya dan hasil kerja saya yang keluar, sebaliknya pertelingkahan antara saya dengan Ogy mengenai hutang.

"Padahal, saya tak perlu malu pun sebab bukan saya yang berhutang. Apabila saya tulis di Twitter, ramai juga rupanya yang berdepan situasi sama dan belum dapat bayaran untuk kerja-kerja mereka," katanya.

Teater Korupsi Dewan Senandung dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac tahun lalu dan isu bayaran tertangguh ini mula diperkatakan apabila pihak produksi gagal melunaskan bayaran kepada semua yang terbabit. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 5:47 PM