ALOY membuat laporan polis di Balai Polis Sentul. FOTO ihsan pembaca
ALOY membuat laporan polis di Balai Polis Sentul. FOTO ihsan pembaca
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK mampu bertahan lagi dengan penerbit yang juga pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud, penulis skrip teater komedi seram Korupsi Dewan Semandung, Aloy Paradoks akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, kelmarin.

Ia berikutan kegagalan pihak produksi Ogy Ventures & Network milik Fauziah melunaskan baki bayaran teater yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu itu.

"Saya terpaksa ambil tindakan ini apabila Fauziah atau kak Ogy juga sudah berkali-kali mungkir janji untuk membayar sepenuhnya baki gaji selepas saya sempurnakan kerja dengan jayanya. Saya adalah mangsa pelanggaran perjanjian. Ia juga sebagai peringatan supaya kak Ogy jangan terlalu selesa berbuat begitu.

"Dia bukan sahaja tidak bertanggungjawab kerana masih belum menjelaskan sepenuhnya baki gaji saya dan individu-individu yang lain, malah lebih tidak bertanggungjawab kerana berani menerbitkan teater tanpa kewangan yang kukuh," katanya.

PERKONGSIAN Aloy di media sosial selepas membuat laporan polis terhadap Ogy. FOTO ihsan pembaca
PERKONGSIAN Aloy di media sosial selepas membuat laporan polis terhadap Ogy. FOTO ihsan pembaca

Aloy yang menyifatkan dirinya sebagai mangsa keadaan khuatir jika dia mengambil sikap berdiam diri, perkara seperti ini berulang lagi di masa akan datang.

"Jika berulang lagi, tak mustahil kawan-kawan saya yang lain pula akan menjadi mangsa kerana industri hiburan di Malaysia terlalu kecil. Jika mengikut perjanjian, baki gaji saya harus dibayar selesai sepenuhnya dua minggu selepas persembahan tamat pada 1 Mac lalu.

"Saya sedih dan kecewa kerana untuk menuntut gaji hasil saya berkerja, terpaksa mencipta permusuhan. Sedangkan dalam hidup ini, saya sebenarnya hanya mahu membuat kerja-kerja seni dengan seronok dan hidup bahagia," katanya.

Pada 1 Mei lalu, pelakon teater, Che Mat membuat laporan terhadap Fauziah Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn, Cheras atas sebab serupa.

Bagaimanapun, difahamkan Ogy sudah menyelesaikan baki bayaran Che Mat dan beberapa pelakon lain serta kru.

Teater arahan Khir Rahman itu dibintangi Che Mat Rajalawak, Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 4:38 PM