KHIR Rahman.
KHIR Rahman.
Syafil Syazwan Jefri


PENGARAH teater Korupsi Dewan Semandung, Khir Rahman menerusi Twitternya memaklumkan bahawa dia belum membuat sebarang laporan polis terhadap penerbit teater itu, Fauziah Ahmad Daud selepas timbul isu mengenai bayaran yang belum dilunaskan.

Khir bagaimanapun tidak menafikan ada beberapa pelakon yang mengambil tindakan terhadap Fauziah yang juga pemilik produksi Ogy Ventures & Network atas sebab-sebab tertentu.

"Saya belum lagi membuat laporan polis. Namun, berita (dari laporan Harian Metro sebelum ini) adalah benar. Ada beberapa pemain (pelakon) dari teater arahan saya ini sudah pun bertindak sedemikian kerana tidak tahu lagi mahu ke mana.

"Buat masa ini, Kak Ogy (Fauziah) memang mendiamkan diri dalam WhatsApp," tulisnya.

Menurutnya lagi, dia juga sudah disekat daripada melihat profil akaun Instagram seniwati itu.

"Selepas tidak menjawab panggilan termasuk di WhatsApp peribadi dan kumpulan (WhatsApp Group), ini adalah muat naik terakhir Kak Ogy yang boleh saya lihat dan komen. Kini, saya sudah disekat. Malah, komen-komen juga sudah dipadam," tulisnya.

Tambah Khir, ini bukan kali pertama isu berkaitan bayaran kerana dia sendiri pernah berdepan pengalaman sama beberapa kali.

"Kak Ogy mungkin hanya individu atau penerbit terkini yang menjadi contoh kepada kegagalan melunaskan janji dan pembayaran. Perkara ini tak boleh berterusan.

"Mangsa akan terus ada, malah untuk mereka yang baru mahu menjadi penerbit teater akan berani menggunakan pendekatan yang sama.

"Perlahan-lahan menghilang dan akhirnya, bayaran juga dilupakan. Ini sering kali terjadi. Saya sendiri dan melalui situasi ini berkali-kali. Akhir sekali, melalui pementasan teater di Istana Budaya juga, judulnya Semerah Padi. Lebih 50 peratus lagi (bayaran) tak dapat," tulisnya.

Khir juga mengakui, sejumlah besar pelakon yang terbabit dalam teater Korupsi Dewan Semandung menyertai pementasan itu atas kepercayaan kepada dirinya sebagai pengarah.

"Saya akui, sejumlah besar pemain yang terbabit dalam teater ini atas kepercayaan yang diberikan kepada saya. Mereka berbesar hati untuk sama-sama menjayakan walaupun sedar dengan faktor masa yang pendek. Kami bersemangat dan sepakat," tulisnya.

Khir juga menjelaskan situasi di mana isu bayaran kedua yang tidak menepati masa menjadi punca konflik di samping beberapa nasihat diterima daripada mereka yang lebih berpengalaman.

"Cerita bermula apabila bayaran kedua tidak menepati masa. Ditambah pula dengan beberapa cerita dan nasihat kawan-kawan yang berpengalaman supaya berhati-hati dengan soal bayaran.

"Malah, ada antara kami yang langsung belum terima apa-apa bayaran. Kami rasa tak sedap hati dan 'tekan' untuk bayaran kedua ini.

"Demi kelangsungan persembahan malam terakhir, Kak Ogy buka surat perjanjian baru bahawa segala-galanya akan dilunaskan pada 16 Mac, iaitu dua minggu selepas tarikh akhir persembahan.

"Pendek cerita, gagal. Maka, pesan-pesan dan nasihat sebelum ini seolah-olah semakin menjadi kenyataan. Namun, melalui janji baru, kami masih menaruh harapan," tulisnya.

Menyambung penjelasannya, Khir berkata dia belum mahu bercerita mengenai perangai atau sikap manusia yang juga memainkan peranan dalam konflik ini.

"Saya belum mahu bercerita mengenai perangai atau sikap. Saya nyatakan ini kerana perangai dan sikap juga memainkan peranan dalam memuncakkan lagi rasa tak sedap hati dan kepercayaan kami. Saya sendiri pun pernah memanggil Kak Ogy sebagai pemain dalam filem dan drama saya.

"Akibat rasa yang memuncak, sebagai 'kepala' dan pengarah, saya rasa bertanggungjawab kepada semua yang terbabit. Semua jabatan termasuklah kru serta pekerja katering bersetuju untuk terus bersama dan berbahasa dengan baik, namun jelas, kami hanya manusia," tulisnya.

Mengakhiri kenyataannya, Khir berkata, dia akan terus berkongsi perkembangan terbaru selagi bayaran tidak dilunaskan.

"Akibat daripada persoalan dan tuntutan yang bertalu-talu, akhirnya, sekitar dua hari lalu, Kak Ogy hilang kata-kata. Dia hilang dari radar. Dan malam ini (semalam), hampir semua kami disekat dari Instagramnya.

"Maka, buat masa ini, kerisauan dan nasihat-nasihat tampak semakin jelas. Saya betul-betul mohon ampun kepada semua yang terbabit membaca perkongsian ini. Malah, saya mungkin akan terus berkongsi selagi tidak dilunaskan gaji," tulisnya.

Sebelum ini, beberapa pelakon dari teater Korupsi Dewan Semandung membuka mulut mengenai isu bayaran yang belum dilunaskan antaranya, Che Mat Raja Lawak dan Man Raja Lawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 1:24 PM