ERRA Fazira. FOTO Arkib NSTP
ERRA Fazira. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara jelita, Erra Fazira, 46, terkejut menerima ucapan tahniah daripada peminatnya selepas hantaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Facebook mengenai majlis pernikahan Erra Fazira hari ini menjadi tular.

Dalam hantaran itu, Dr Zulkifli mengucapkan tahniah kepada wanita bernama Erra Fazira dan suami atas pernikahan yang berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hari ini.

Namun, wanita terbabit bukanlah Erra yang dikenali ramai, cuma kebetulan namanya sama dengan pelakon popular itu.

"Nama kebetulan sama, namun bukan individu yang disangka. Saya pun mula-mula terkejut. Ingatkan pelakon filem Sembilu," tulis Zulkifli di Facebook.

 Menurut Erra, walaupun dia juga terkejut, tetapi baginya status yang dimuat naik menteri itu sekadar usikan.

 "Saya anggap ia sekadar gurauan daripada beliau untuk hiburkan hati orang ramai," katanya.

DR Zulkifli mengucapkan tahniah kepada wanita bernama Erra Fazira dan suami atas pernikahan yang berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). FOTO Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
DR Zulkifli mengucapkan tahniah kepada wanita bernama Erra Fazira dan suami atas pernikahan yang berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). FOTO Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Selain Erra, pengurusnya, Sharendra Abd Razak turut mendapat banyak panggilan telefon berserta mesej di aplikasi WhatsApp yang mahu meminta pengesahan.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali iaitu bersama komposer dan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2006 dan kemudian ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Hasil perkongsian hidup dengan Engku Emran, mereka dikurniakan anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 11 tahun. 

Erra juga pernah dikaitkan menjalin hubungan dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi, tetapi kini sudah berpisah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 4:49 PM