GAMBAR yang dimuatnaik keluarga Neelofa pada majlis ringkas dipercayai majlis merisik di kediaman keluarga Neelofa.
GAMBAR yang dimuatnaik keluarga Neelofa pada majlis ringkas dipercayai majlis merisik di kediaman keluarga Neelofa.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyebaran berita pelakon dan pengacara Neelofa dikatakan sudah dirisik oleh pelakon dan pendakwah, PU Riz masih belum menemui jawapan apabila kedua-dua belah pihak mengambil langkah mengunci mulut. 

Sejak berita itu tersebar semalam, ramai pihak termasuk media masih menantikan maklum balas daripada mereka mengenai hubungan yang penuh rahsia itu. 

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan reaksi Neelofa sebaik berita terbabit tular di laman sosial menemui jalan buntu apabila tiada jawapan dapat diberikan. 

Malah pihak pengurusannya juga memaklumkan tiada kenyataan daripada pihak pengacara terkenal itu, sebaliknya rujuk kepada kenyataan ibunya, Datin Noor Kartini di Instagram. 

"Salam. Tiada kenyataan dari pihak Neelofa. Boleh rujuk kapsyen posting Mama Lofa sahaja," katanya. 

Semalam, pasangan itu dikatakan mengadakan satu majlis sederhana yang berlangsung di kediaman keluarga selebriti dan ahli perniagaan itu. 

Terdahulu, tular di media sosial apabila ramai warganet membuat perkongsian gambar Neelofa dan PU Riz berpakaian warna sedondon termasuk ucapan tahniah buat pasangan sejoli berkenaan.

Menerusi perkongsian ditulis ibu Neelofa di Instagramnya umpama menjelaskan situasi sebenar mengenai ikatan hubungan anaknya itu dengan PU Riz.

"Bismillahirrohmannirohim, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, syukur pada mu Ya Rabb, saat yang ku tunggu-tunggu sudah pun tiba, kau hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayanganku.

"Aku yakin dengan ketentuanmu yang mana insan ini dapat membahagiakanya, menyerikan dan yang akan melengkapi hidupnya, yang akan menyokongnya setiap apa utusannya.

"Ya Allah, jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewamu di syurga mu nanti, amin," tulisnya.

Bagaimanapun, pasangan Neelofa dan PU Riz dijangkakan bakal bernikah pada hujung Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 1:08 PM