Nor Syakinah (baju putih) bermimpi bertemu anaknya ketika mimpi. FOTO NSTP
Nor Syakinah (baju putih) bermimpi bertemu anaknya ketika mimpi. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kerinduan Nur Syakinah Abdullah yang juga ibu penyanyi Allahyarham Sandra Dianne terubat apabila arwah anaknya itu muncul dalam mimpi  selepas 44 hari pemergiannya.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook baru-baru ini, Nur Syakinah mengucap rasa penuh syukur kerana mempertemukannya dengan Sandra dalam mimpi.

"Tepat 44 hari, akhirnya kakak datang juga dalam mimpi mama.Terima kasih nak, mama takkan lupa ciuman yang mama berikan pada kakak dan pelukan tangan kakak memeluk erat badan mama.

"Ia seperti tanda daripada kamu yang memberitahu kamu baik-baik, dan sampai masanya mama pandang ke depan dan berhenti meratapi pemergianmu. Mama akan terus merindui kamu dan bersemadilah dengan tenang bidadariku. Al Fatihah," tulisnya.

Pada perkongsian terdahulunya juga di Facebook, Nur Syakinah menulis kerinduan ditanggung membuatkan dia seolah-olah berasakan Sandra ada tawaran menyanyi di tempat yang jauh dan lambat lagi akan balik ke rumah.    

"Kadang-kadang mama melihat telefon menunggu WhatsApp kakak masuk. Baca semula perbualan kita yang lama, dengar nota suara kakak pada mama, orang takkan mengerti apa perasaan yang mama lalui saat ini.

"Susah untuk mama bangkit semula dari kesedihan ini kakak. Berat mama pun semakin hari makin turun daripada 52 kilogram (kg) mendadak turun ke 46kg. Setiap malam, selama 40 hari juga mama tidur bertemankan air mata," tulisnya.

Menurut Nur Syakinah, dia sentiasa dan tidak pernah lupa mendoakan kesejahterahan Sandra termasuk selalu sedekahkan Al Fatihah buat anak kesayangannya itu.

Pada 11 September lalu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria meninggal dunia jam 1 pagi di Hospital Putrajaya selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan.

Penyanyi lagu Hey Kau itu terbabit kemalangan pada 5 September lalu  di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk mengikuti latihan program Big Stage 2020 yang disertainya.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Sabah. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 8:20 PM