Syamsul Yusof (duduk) obses  terhadap kerja. FOTO NSTP
Syamsul Yusof (duduk) obses terhadap kerja. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


OBSES terhadap kerja mungkin menjadi salah-satu punca kepada kemelut rumah tangga pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof dengan isterinya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana.

Syamsul ketika ditemui mengakui dia obses terhadap kerja dan Sarah adalah isteri yang baik.

"Saya gila dengan kerja. Saya sendiri pun tak tahu apa masalah saya sebab saya akan sentiasa mencari kerja. Setiap benda datang dengan harga yang perlu dibayar. Tuhan beri kejayaan untuk filem dan karya muzik saya, tapi ada benda yang saya perlu perbaiki.

"Kami masih dalam proses memperbaiki hubungan rumah tangga kami. Doakan yang terbaik," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Sarah yang dilihat hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pertengahan bulan lalu, Syamsul tidak menafikan dan kedua-dua mereka sedang mencari jalan terbaik.

"Semua tahu Sarah ada ke sana (pejabat agama). Mungkin kalau sudah tak ada jalan lain, kami bersedia untuk mendapat khidmat nasihat serta kaunseling untuk memperbaiki rumah tangga kami.

"Saya nak tenang-tenang, tapi macam-macam benda berlaku dan terbaru, isu fitnah oleh YouTuber dan ugutan pula," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai kehadiran Sarah di pejabat agama ditemani wanita yang didakwa sebagai ibu mentuanya.

Berdasarkan pemerhatian Harian Metro, Sarah sudah tidak mengikuti Syamsul di Instagram. Begitu juga di Instagram Syamsul yang mana kali terakhir dia memuat naik gambar bersama isteri dan anak-anak pada Mei lalu, manakala bersama Sarah pula kali terakhir pada November tahun lalu.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, 1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 1:23 PM