Taufiq Hanafi. FOTO Mohamad Sharil Badri Saali
Taufiq Hanafi. FOTO Mohamad Sharil Badri Saali
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Taufiq Hanafi meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap sesetengah syarikat produksi yang takut untuk menawarkannya berlakon.

Menurutnya, apabila ditanya alasan mereka adalah takut jika tidak mampu memberikan bayaran yang sesuai kepadanya, berikutan filem lakonannya seperti Paskal: The Movie dan Ola Bola pernah menjadi filem pecah panggung.

"Saya akui ada rasa kecewa dan terkilan dengan situasi ini. Alasan mereka, adalah takut kalau saya letakkan harga yang tinggi, sedangkan mereka belum bertanya dan berbincang pun lagi.

"Kesannya, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tak banyak terima tawaran lakonan dan sedikit sebanyak, ia menjejaskan sumber rezeki saya," katanya kepada Harian Metro.

Bermula esok, filem lakonannya berjudul Pasal Kau! yang juga karya filem asal Netflix akan ditayangkan di 190 negara.

"Tentunya saya rasa teruja kerana ini menjadi satu lagi pencapaian buat saya kerana bukan senang nak dapat peluang untuk berlakon dalam filem yang ditayangkan di seluruh dunia.

"Tapi, pada masa sama, timbul kerisauan sekiranya ini akan menjadi satu lagi sebab kerana orang tak mahu atau takut untuk menawarkan saya berlakon," katanya.

Selain Taufiq, filem arahan pengarah Adrian Teh itu turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Hairul Azreen, Janna Nick, Amerul Affendi, Namron dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 5:56 PM