LEFTHANDED  rancang anjur siri konsert besar-besaran tahun depan.
LEFTHANDED rancang anjur siri konsert besar-besaran tahun depan.
Ridzuan Abdul Rahman


Tempoh 40 tahun kewujudan mereka dalam industri hiburan tanah air adalah wajar dirai. Itulah, kumpulan rock 'otai' diminati ramai, Lefthanded.

Bersandarkan status kumpulan legenda yang masih berbisa, Lefthanded kini menyusun agenda untuk merancang penganjuran sebuah siri konsert besar-besaran mereka pada tahun depan.

Konsert diberi nama Ultimate Experience Projek G.I.L.A itu dijangka bakal membuka pentas pada Januari 2021 dengan membabitkan 10 lokasi seluruh negara.

Vokalisnya, Datuk Nash berkata, Projek G.I.L.A yang diambil nama daripada Gerakkan Ilmu Laksana Agendamu itu sudah dicetuskan oleh Man Kidal sejak lima tahun lalu.

"Projek persembahan berskala besar ini sangat bermakna untuk kami realisasikan kerana Lefthanded mempunyai ramai peminat. Jadi, kami kena buat demi mereka.

"Namun pada masa sama, kami juga sedar dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini dan masih belum selesai.

"Jadi perkara paling penting untuk memastikan konsert ini berjaya ialah mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Kami sedia untuk akur dengan segala keputusan ditetapkan kerajaan," katanya ditemui baru-baru ini pada majlis tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun ke-40 Lefthanded di Panggung Asia, Jalan Gombak.

Menurut Nash lagi, peminat bakal menyaksikan Lefthanded 2020 dengan kemasukan Fly Harizor sebagai basis, Rio Rasul (keyboard), Ritz Metalasia (gitar) dan Hafiz (anak kepada Allahyarham Man Dayak) sebagai pemuzik undangan.

"Kesemua mereka yang menjadi pemuzik pilihan untuk kerjasama ini mempunyai kehebatan tersendiri dan layak untuk bergabung dengan kami.

"Memandangkan saya dan Man Kidal dah berusia, kami perlu buat persediaan secukupnya dengan melakukan latihan selama empat bulan di Panggung Asia ini.

"Proses latihan kami merangkumi pelbagai aspek membabitkan persembahan, sistem bunyi, pencahayaan dan banyak lagi," katanya.

NASH bersama Man Kidal ketika persembahan  sempena ulang tahun ke-40 Lefthanded di Panggung Asia, Jalan Gombak, baru-baru ini.
NASH bersama Man Kidal ketika persembahan sempena ulang tahun ke-40 Lefthanded di Panggung Asia, Jalan Gombak, baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu, latihan akan diadakan selama lima hari seminggu tanpa henti sehingga hujung tahun ini.

"Kami juga akan menganjurkan klinik muzik untuk peminat. Juga kami akan mengumpul dana untuk diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik melalui penganjuran konsert ini," katanya.

Sementara itu, Man Kidal pula berkata, konsep berkampung yang sedang dilakukan bukanlah perkara baharu buat mereka.

"Ketika menghasilkan album Qabul pada 1988 dulu, kami anggota Lefthanded pernah berkampung di Bukit Fraser selama tiga bulan.

"Hasilnya, alhamdulillah kami puas dan rasa sangat bersyukur kerana dapat juga menerbitkan album yang berkualiti," katanya.

Selain Qabul, Lefthanded pernah muncul dengan album lain seperti Seruan pada 1987, Evolusi (1989), Fanatisme (1991), Seleksi Lagenda Lefthanded (1992), Nafas (1996), Dimensi Baru (1998) dan Syurga & Neraka (1999).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:40 AM