TERUS bersetuju apabila ditawarkan berlakon filem Butak daripada Sabri Yunus.
TERUS bersetuju apabila ditawarkan berlakon filem Butak daripada Sabri Yunus.
Norhayati Nordin


KANVAS kerjaya seni dilakar pelakon Fimie Don bermula sejak usia lima tahun. Malah, hingga sekarang lakonannya yang terus diingati tentunya dalam drama Hikayat Putera Shazlan.

Bagaimanapun, Fimie yang pernah meraih anugerah pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23, kini semakin meningkat dewasa.

Namun, pemilik nama sebenar Shafimie Saedon, 22, ini tetap sedia menyumbang keringatnya pada kerjaya seni yang masih berterusan.

Selain aktif berlakon drama, Fimie juga mendapat peluang membintangi filem dan dia akan muncul dengan karya Butak di pawagam tidak lama lagi.

Melakonkan watak Panjang dalam filem itu, Fimie mengakui sangat teruja bekerja dengan pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus.

"Sebaik menerima tawaran daripada Sabri Yunus untuk berlakon dalam filem Butak ini, saya tidak tunggu lama untuk memberikan kata persetujuan.

"Saya terus berminat untuk terbabit dalam filem ini sebaik dimaklumkan mengenai jalan ceritanya. Ditambah, saya juga yakin dengan kreativitinya.

"Ketika di lokasi penggambaran pula, dia banyak membantu dan beri tunjuk ajar. Jika lakonan diinginkan tidak sampai tahapnya, dia akan ulang 'shoot' semula.

"Malah, menariknya lagi bekerja dengannya, dia sangat tenang dan sentiasa berkongsi ilmu. Cara teguran yang diberikan juga sangat profesional," katanya.

Mengulas lanjut watak Panjang itu, Fimie berkata dia perlu melakonkan watak sebagai remaja nakal dan berasal dari sebuah kampung di Pulau Pinang.

"Apa yang hebatnya di mata saya untuk filem ini adalah latar masa yang berkisarkan era 1960-an. Dari segi pakaian dan bahasa digunakan memang lain.

"Sebagai Panjang, saya sendiri perlu menggunakan dialek Pulau Pinang. Namun, ia tidak sukar pun kerana saya memang boleh bercakap loghat utara," katanya.

Mengakui Sabri juga seorang sutradara yang amat menitikberatkan kualiti, Fimie berkata dia yakin dengan hasil terbaik dan berkesan dihasilkan filem Butak itu.

Katanya, dia mengharapkan filem Butak meraih kejayaan di pawagam kerana sentuhan Sabri diyakini ada aura tersendiri dan mesti ditonton.

Barisan pelakon lain yang turut membintangi Butak terbitan Two Tones Sdn Bhd ialah Izuan Fitri, Melly Amalin, Khatijah Tan dan Kazar Saisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 6:44 AM