PERSEMBAHAN hebat Wings dalam konsert melalui platform streaming langsung pada Ogos lalu.
PERSEMBAHAN hebat Wings dalam konsert melalui platform streaming langsung pada Ogos lalu.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI masih ada peminat yang bercakap mengenai Konsert MARii Wings Kita Merdeka 'Live Streaming' yang berlangsung pada 29 Ogos lalu.

Ia turut melakar sejarah tersendiri buat Wings dan industri hiburan Malaysia apabila bergelar artis pertama mengadakan konsert rock melalui platform streaming langsung ke seluruh Malaysia dan khalayak global.

Paling menarik, sambutan berganda sempena Hari Kemerdekaan ke-63 negara dan ulang tahun ke-35 Wings menyaksikan konsert ini dipenuhi dengan kegembiraan, semangat patriotik, penghargaan dan rasa sebenar kebanggaan menjadi anak Malaysia.

Sekali gus membuktikan juga penganjuran bersama, Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd berjaya menyampaikan acara berkualiti dan konsert streaming langsung dengan sokongan penaja utama, Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute atau MARii.

BARISAN ahli kumpulan Wings yang menjayakan konsert streaming pada Ogos lalu.
BARISAN ahli kumpulan Wings yang menjayakan konsert streaming pada Ogos lalu.

Malah, hebatnya lagi apabila konsert ini turut menyaksikan sebanyak 3,600 live penstriman tontonan, manakala 431 yang menonton di lokasi.

Siaran langsung berkenaan dapat ditonton peminat Wings dari 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, UAE, United Kingdom, Switzerland, Australia, Hong Kong, Taiwan, dan New Zealand.

Konsert di lokasi itu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tidak terkecuali, ia juga mendapat khidmat 20 pegawai Rela dan 20 kru acara berpengalaman untuk memastikan penonton yang hadir mematuhi SOP sehingga konsert siaran langsung diteruskan tepat pada waktunya dan lancar.

Ditambah, ia juga mendapat sambutan hangat daripada peminat dan pengikut media sosial. Begitu juga, maklum balas daripada penonton penstriman sangat positif kerana kebanyakannya mengulas kualiti pengeluaran bermutu tinggi bersama dengan jalur lebar berkelajuan tinggi yang cekap disediakan UniFi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sonic Minds, Suffian Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Firm Motion, Zairul Haziq mengakui gembira dengan penganjuran berkenaan.

"Dengan kejayaan besar konsert rock hiburan hibrid bertaraf dunia pertama di Malaysia, kami akan terus mencipta kandungan berasaskan teknologi yang lebih menarik untuk merangsang acara terbabit.

"Kami berharap agar MARii terus menyokong kami dengan siaran canggihnya secara teknologi streaming," kata Suffian.

AWIE dengan gaya hebat penghibur legenda.
AWIE dengan gaya hebat penghibur legenda.

"Diharapkan inisiatif ini memberikan banyak faedah dan akan terus menyegarkan industri hiburan dan kreatif.

"Wings adalah kumpulan yang serba boleh. Justeru, kita perlu sesuaikan diri dengan situasi dan mengikuti norma baharu," kata Zairul pula.

Bagi Pengarah Kanan-Domestik untuk Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abdul Ghapar berkata, ia membuktikan bahawa pelancongan dan hiburan bersinergi dengan baik.

"Usaha ini dan kerjasama yang baik di antara industri di Malaysia, dapat menghasilkan keputusan yang luar biasa untuk negara," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, aplikasi teknologi digital sangat penting untuk membolehkan kesinambungan konsert ini seperti diperlihatkan dalam kerjasama mereka.

"Streaming konsert digital disiarkan secara langsung kepada lebih daripada 5,000 peminat.

"Platform digital MARii mampu menangkap data penting dan mengandungi ciri keselamatan terjamin, yang dapat membantu mengurangkan masalah cetak rompak dan memastikan artis

dihubung dengan sewajarnya melalui royalti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:20 AM