MIRA Filzah
MIRA Filzah
Sudirman Mohd Tahir


TINDAKAN pelakon popular, Mira Filzah menyarung pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India, Lehenga yang dimuat naik di Instagram empat hari lalu membuatkan dia dianggap 'cultural appropriation' oleh segelintir pihak.

Bagaimanapun, Mira tidak melatah apabila pantas menjelaskan perkara sebenar selain mengambil pendekatan memohon maaf.

Berbeza pula apabila video 'lip sync' yang dimuat pengacara Nona itu menerusi lagu Hindi, Maar Dala daripada filem Devdas mencecah lebih sejuta tontonan di Instagram.

Video berdurasi 58 saat itu turut mendapat lebih 2,400 komen yang kebanyakannya memuji kecantikan dan kehebatan Mira membuat 'lip sync'.

Selain peminat, rakan artis tidak ketinggalan menulis di ruangan komen antaranya Amira Othman, Uyaina Arshad, Bella Astillah, Adriana Adnan, Akma Abdullah dan ramai lagi.

"Ingatkan Mira yang nyanyi. Power 'lip sync'," tulis Amira Othman.

Mira membalas komen itu yang mana mengakui dia hanya boleh 'lip sync' lagu Hindi.

"'Lip sync' Hindustan (Hindi) saja reti. Lip Sync lagu lain ke laut," katanya.

Menerusi video itu, Mira turut meletakkan keterangan gambar yang menganggap orang terlalu cepat menilai.

"Orang terlalu cepat untuk membuat penilaian, dan terlalu lambat untuk merenung diri," tulisnya.

Terdahulu, dalam laporan Harian Metro, Mira mengakui tidak berniat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi penampilannya dalam persalinan Lehenga seperti yang dimuat naik di Instagram.

Mira berkata, tema itu adalah satu daripada konsep penggambaran produk kanta lekap selain ia adalah keinginannya sendiri selaku penggemar filem dan lagu Bollywood.

Penampilan Mira itu menjadi topik 'trending' di Twitter apabila timbul perdebatan dalam kalangan pengguna laman sosial membabitkan pihak yang tidak bersetuju dan yang menyokong Mira.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 1:32 PM