MUHD Azuan (kanan) dan adiknya, Aminuddin bergambar kenangan ketika pertemuan pertama mereka, Jumaat lalu. FOTO Muhd Azuan Adam.
MUHD Azuan (kanan) dan adiknya, Aminuddin bergambar kenangan ketika pertemuan pertama mereka, Jumaat lalu. FOTO Muhd Azuan Adam.
Redzuan Muharam


Jengka: Hubungan mereka diikat dengan pertalian darah sebagai adik-beradik sebapa, namun tidak pernah bersua muka sehinggalah Jumaat lalu.

Takdir mempertemukan Muhd Azuan Adam, 34, dan adiknya, Aminuddin, 30, buat kali pertama selepas tiga dekad berpisah.

Muhd Azuan berkata, pertemuan itu berlaku selepas hampir sebulan dia berhubung dengan Aminuddin menerusi WhatsApp pada 31 Ogos lalu.

Detik manis itu meraih perhatian rakyat Malaysia selepas isteri Muhd Azuan iaitu Siti Sofiah Ibrahim, 30, memuat naik video di TikTok, baru-baru ini.

Kata Muhd Azuan, sudah lama dia mencari Aminuddin dan enam adik lain, namun tidak berhasil kerana tiada maklumat mahupun gambar dalam simpanan.

Urusannya dipermudah apabila bapa saudara membantu menjejaki Aminuddin menerusi nombor telefon yang diperoleh.

"Emak bercerai dengan arwah ayah (Adam Saat) waktu saya kecil lagi dan selepas itu saya tinggal dengan emak di sini, manakala, ayah berkahwin lain dan dikurniakan tujuh anak hasil perkahwinan kedua.

"Ikutkan, saya memang tak pernah jumpa atau berhubung dengan ayah sejak tinggal dengan emak, sehinggalah dia meninggal dunia tetapi saya tahu saya ada adik-beradik lain.

"Cuma (tak tahu) nak cari macam mana jika muka mereka pun (saya) tak pernah tengok?," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Muhd Azuan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan kesemua adik-beradik kandungnya, apatah lagi dia kerap memikirkan mereka terutama ketika hari raya.

"Sedih juga kerana orang lain berkumpul ramai-ramai dengan adik beradik tapi saya tak dapat merasainya.

"Jadi, saya hanya mampu berdoa saja dan tak sangka masa yang ditunggu tiba, apabila dapat jumpa adik walaupun baru seorang," katanya yang bersyukur meskipun pertemuan itu singkat disebabkan dia perlu pulang ke Pahang.

Harapannya agar mereka dapat berkumpul beramai-ramai pada Aidilfitri tahun depan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, dia tahu mengenai kewujudan abangnya kerana pernah diceritakan ibu, Saloma Md Noor, 47, ketika berusia 14 tahun.

"Tapi ketika itu tak cari abang hingga 31 Ogos lalu, saya terima WhatsApp daripada abang. Saya sangat terkejut kerana tak sangka (dapat berhubung).

"Jumaat lalu apabila berkesempatan jumpa abang, macam tak percaya kerana seumur hidup, itulah pertama kali tengok muka dia (abang)," katanya yang tinggal di Setiu, Terengganu.

Seperti Muhd Azuan, dia juga bersyukur dipertemu abang yang terpisah lama dan tidak sabar untuk berhimpun bersama keluarga besar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 10:21 PM