ANSEL Elgort.
ANSEL Elgort.
Georgie Joseph

AKTOR Hollywood, Ansel Elgort menafikan dirinya pernah menodai wanita dikenali sebagai Gabby seperti yang sedang tular di laman sosial.

Ansel, 26, berkata dia sangat tertekan dengan tuduhan itu dan mengakui memang pernah menjalinkan hubungan bersama wanita terbabit.

"Saya sangat tertekan melihat perkongsian di media sosial mengenai saya yang terus tersebar dalam tempoh 24 jam ini. Saya tidak boleh cakap saya faham perasaan Gabby, tapi gambaran mengenai kejadian itu bukan seperti yang berlaku.

"Saya tidak pernah dan tidak akan pernah buat gangguan seksual kepada sesiapa pun. Apa yang benar adalah pada 2014 di New York, sewaktu saya berumur 20 tahun, Gabby dan saya ada hubungan yang pendek, sah, keseluruhannya suka sama suka.

"Malangnya, saya tidak kendalikan perpisahan itu dengan cara baik. Saya terus abaikan dia, yang mana perbuatan itu cukup tidak matang dan kejam untuk dilakukan kepada seseorang," katanya.

Bintang filem Divergent itu juga mengakui sangat menyesal dengan perbuatan itu dan memohon maaf kepada Gabby serta berjanji untuk menjadi insan lebih baik.

"Saya tahu permohonan maaf ini agak terlambat dan tidak akan memadai terhadap perbuatan saya yang tidak boleh diterima apabila saya lesap.

"Apabila mengingat kembali kelakuan itu, saya sangat jijik dan teramat malu terhadap cara perbuatan saya. Minta maaf sangat-sangat.

"Saya tahu saya harus berterusan refleksi diri, belajar, dan berusaha untuk berkembang jadi lebih bersifat empati," katanya.

Terdahulu, Gabby mengejutkan industri hiburan menerusi ciapan di Twitter berkongsi pengalamannya dinodai Ansel sewaktu dia baru masuk usia 17 tahun. Dia mendakwa aktor terbabit memaksanya untuk melakukan hubungan seks.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 4:16 PM