PENGURUS Besar Kumpulan, Audiens & Pemasaran, Ripple, Anida Mohd Tahrim. FOTO arkib NSTP
PENGURUS Besar Kumpulan, Audiens & Pemasaran, Ripple, Anida Mohd Tahrim. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengurus Besar Kumpulan, Audiens & Pemasaran, Ripple, Anida Mohd Tahrim memaklumkan pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar berhadapan penggantungan sementara perkhidmatannya di stesen itu kerana masalah peribadi.

Terdahulu, hari ini pihak pengurusan Hot FM mengeluarkan kenyataan mengesahkan penggantungan sementara perkhidmatan Shuk yang mengendalikan segmen Geng Pagi Hot berkuat kuasa serta merta.

Anida dihubungi berkata Shuk sudah dimaklumkan mengenai penggantungan sementara perkhidmatannya itu yang berkuat kuasa serta merta, sejak semalam.

"Sehingga bila tempoh penggantumgan perkhidmatan sementara Shuk itu tidak dapat dipastikan kerana buat masa ini siasatan dalaman masih dibuat oleh pihak pengurusan berkaitan isu tular membabitkannya.

"Apa yang boleh dikata, ia berkaitan isu peribadi Shuk. Bagaimanapun, untuk perkembangan terkini berhubung penggantungan perkhidmatan sementara itu akan dimaklumkan sebaik siasatan dalaman selesai," katanya kepada Harian Meteo.

KENYATAAN Media dari pihak pengurusan Hot FM.
KENYATAAN Media dari pihak pengurusan Hot FM.

Sementara itu, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar yang cuba dihubungi Harian Metro tidak menjawab panggilan, manakala kiriman mesej menerusi WhatsApp dan Telegram juga tidak dibalas.

Menerusi Instagram Shuk, kali terakhir dia kemaskini hantaran sekitar empat hari lalu mengenai rakaman video yang dibuat di rumah baharu, namun yang kedengaran suara wanita menangis.

Menurut Shuk dalam kapsyen di tulis, kediaman itu baharu didudukinya bersama isteri, Rossalennah Natassiah Asshaferah dan keluarga, malah mereka belum berkesempatan membuat kenduri doa selamat.

Menerusi ruangan komen ditulis, rata-rata ia menjadi medium 'serangan' segelintir warganet kepada Syuk berikutan isu tular membabitkan kisah pergolakan rumah tangganya yang berlaku ketika ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kemelut rumah tangga Shuk apabila isterinya, Rossalennah yang membuat pendedahan berani mengenai kecurangan dilakukan pelawak itu.

Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik Rossalennah menerusi Instagram, mendedahkan Shuk masih lagi curang bersama wanita lain di belakangnya.

Rossalennah juga mendakwa suaminya itu masih lagi menjalin hubungan dengan wanita sama yang pernah dikaitkan dengan Shuk sebelum ini.

Shuk dan Rossalennah mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi yang kini berumur setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 2:50 PM