KYLIE Jenner.
KYLIE Jenner.
Agensi

NAMA personaliti TV, Kylie Jenner dan penghibur terkenal Hollywood, Kanye West antara yang mendahului senarai tahunan Forbes dengan bayaran tertinggi tahun ini. 

Turut mendominasi kedudukan 10 teratas Forbes itu adalah ahli sukan ternama iaitu bintang tenis, Roger Federer dan bintang bola sepak Argentina dan Barcelona, Lionel Messi. 

Forbes juga menganggarkan pendapatan diperoleh Jenner sebanyak AS590 juta dalam tempoh 12 bulan terakhir meliputi penjualan 51 peratus kepentingannya dalam Kylie Cosmetics kepada Coty pada tahun lalu. 

Jenner, 22, yang menjadi perhatian ramai sejak minggu lalu ketika Forbes berkongsi tinjauan data penjualan Coty, sukar mempercayai dia kini berada dalam golongan selebriti yang kaya-raya. 

Malah, adik perempuan dalam keluarga Kim Kardashian itu seolah-olah tidak mahu menerima hakikat dia antara belia muda bertaraf  jutawan alaf baharu sejak diumumkan tahun lalu. 

"Saya belum lagi betaraf jutawan dan maklumat dikeluarkan Forbes mungkin tidak tepat berdasarkan sejumlah pernyataan yang tiada bukti," katanya.

Sementara itu, West yang juga suami Kim memperoleh pendapatan sekitar AS170 juta yang mana sebahagian besarnya diperoleh daripada perjanjian dengan Adidas untuk jenama kasut Yeezy. 

West juga adalah pemuzik berpendapatan tinggi diikuti Sir Elton John yang meraih sebahagian besar anggaran AS81 juta.

Forbes turut menyenaraikan Celebrity Top 100 memperoleh gabungan AS6.1 bilion sebelum cukai dan yuran, di mana berlaku penurunan sebanyak AS200 juta akibat Covid-19 yang menyebabkan stadium ditutup dan arena sukan terjejas. 

Federer pula menduduki tangga ketiga dengan anggaran pendapatan AS106.3 juta hasil daripada perjanjian sokongan dengan syarikat pakaian Jepun, Uniqlo dan pembuat jam tangan Rolex.

Dia diikuti rapat oleh bintang bola sepak dunia iaitu Cristiano Ronaldo dan Messi. 

Selain itu, calon baru termuda tahun ini yang disenaraikan Forbes termasuk pemuzik muda berusia 18 tahun, Billie Eilish dengan bayaran AS53 juta dan pencipta 'Hamilton' Lin-Manuel Miranda (AS45.5 juta).

Taylor Swift pula tahun ini mendapat kedudukan ke-25 berbanding berada di tangga teratas Forbes tahun lalu. 

Forbes menyusun senarai dengan menganggarkan pendapatan sebelum cukai dari Jun 2019 hingga Jun tahun ini sebelum menolak bayaran untuk pengurus berdasarkan beberapa pangkalan data seperti Nielsen, Pollstar, IMDB dan wawancara dengan pakar industri. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:25 PM