GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syafil Syazwan Jefri


PENGURUSAN stesen radio Suria FM akan membuat laporan polis apabila akaun Instagram stesen itu, @suriamalaysia yang digodam sejak semalam.

Wakil Unit Komunikasi Korporat Suria FM, Fatin Nur Sofia berkata, pihaknya menyedari bahawa Instagram itu digodam selepas tidak dapat diakses sejak petang semalam.

"Kita akan membuat laporan polis untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dan lebih banyak akaun yang diikuti Suria Malaysia digodam," katanya kepada Harian Metro.

Suria FM juga menasihatkan pengikut akaun Instagram mereka supaya tidak melayan sebarang mesej di Instagram yang digodam itu.

"Suria FM sedang berusaha untuk mendapatkan kembali akaun itu dan menasihati pengikut akaun Suria Malaysia untuk tidak melayan sebarang mesej terus (Direct Message) dan mesej palsu yang menggunakan nama Suria Malaysia atau nama asing.

"Sebarang maklumat terkini hanya akan dimaklumkan melalui akaun media sosial Facebook dan Twitter Suria FM sahaja buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu, beberapa artis popular turut menerima mesej di Instagram daripada individu tidak dikenali yang disyaki penggodam.

Antara yang memuat naik tangkap layar mesej daripada individu tidak bertanggungjawab itu adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Andi Bernadee.

"Pagi ini dapat mesej di DM (Direct Message). Rasanya, ada yang cuba nak hack (godam) akaun saya. Abaikan atau buat apa? Tolong!" tulis Siti.

Ernie pula keliru apabila menerima mesej daripada individu itu, namun penggodam itu cuba menghantar mesej itu menggunakan Instagram Ernie sendiri.

"Guys, kalau kita dapat DM daripada diri kita sendiri, ini boleh percaya ke tak? Tolong," tulisnya yang disertakan dengan emoji menangis.

Dalam pada itu, Andi pula tidak menulis sebarang komen sebaliknya berkongsi tangkap layar mesej yang diterima.

Pelakon, Almy Nadia turut menjadi sasaran penggodam tidak bertanggungjawab itu dan memohon supaya individu itu tidak menggodam Instagramnya kerana itu adalah tempat dia mencari rezeki.

"Tolong, tolong. Jangan, jangan, janganlah hacker (penggodam). Saya buat kerja dengan Instagram ini. Ini saya bantu keluarga dengan Instagram.

"Ya Allah ya Tuhanku. Kau makbulkanlah doaku ini. Instagram ini tempat aku mencari rezeki untuk membantu keluarga. Niat aku ikhlas untuk bantu keluarga. Inilah punca rezekiku," tulisnya.

Almy juga meminta peminat dan pengikutnya mendoakan supaya penggodam itu menyerahkan semula akaun Instagramnya.

"Minta doa semua supaya 'hacker' ini pulangkan Instagram saya balik. Tolong doakan. Minta jasa baik semua tolong doa sebab Instagram saya tempat saya bantu orang berniaga dan saya bantu keluarga," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 4:35 PM