PENGACARA, Jehan Musa pada majlis pelancaran I Can See Your Voice Musim ke 3. FOTO ROHANIS SHUKRI.
PENGACARA, Jehan Musa pada majlis pelancaran I Can See Your Voice Musim ke 3. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Najiy Jefri


“PEMERGIAN Abam mengingatkan kita mengenai kematian yang tidak mengira waktu. Rezeki Abam menghadap Ilahi dalam keadaan yang tenang,” kata pelawak dan pengacara Jihan Muse yang menganggap kematian pelawak Abam sangat dicemburui berikutan arwah seorang yang sangat baik.

Jihan berkata, melihat pemergian Abam yang begitu mudah serta kehadiran ribuan jemaah untuk solat jenazah adalah sesuatu yang tidak boleh dirancang.

“Siapa yang tak nak pergi dalam keadaan tidur dan masjid dipenuhi dengan lautan manusia untuk mengiringi jenazah Abam hingga ke perjalanan terakhirnya.

“Semua itu tidak boleh dirancang. Saya tidak boleh nak cakap diri saya baik dan mendapat pengakhiran yang begitu. Namun, apa yang berlaku mengajar kita untuk sentiasa berbuat baik dengan orang.

“Abam seorang insan yang berhati mulia. Ramai yang menyayanginya dan saya tiada masalah langsung dengannya. Malah, kita juga tak pernah dengar cerita buruk tentang dia selama ini,” katanya.

Menurut Jihan, pemergian Abam sesuatu yang amat mengejutkan apabila satu demi satu orang terdekat dengannya menghadap Ilahi.

“Saya tak sempat nak habis sedih dengan kehilangan beberapa orang hebat dalam industri seni yang saya kenali rapat seperti Din Beramboi, Pak Yus, Abg Pitt Hamzah serta Lok U.

“Dan, semalam dikejutkan pula dengan berita arwah Abam meninggal dunia. Saya seakan ‘bingung’ adakah benar berita yang saya terima ini? Semuanya, saya rapat dan pernah bekerjasama sekali,” katanya.

Tambah Jihan, lebih membuatkan dia pilu dengan pemergian Abam apabila mengenangkan nasib anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan.

“Apa yang membuatkan saya lebih pilu, ketika memikirkan anak dia. Bila dah jadi mak kita faham macam mana anak itu bila membesar nanti.

“Tak sempat nak mengenali ayahnya dan apakah dia ingat wajah ayahnya? Itu yang paling sedih,”katanya.

Terdahulu, pelawak popular Abam Bocey, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor jam 8.30 pagi semalam dipercayai akibat demam panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 6:50 PM