SUFIAN Suhaimi dikecam oleh pengguna Twitter.
SUFIAN Suhaimi dikecam oleh pengguna Twitter.
Sudirman Mohd Tahir


“BIASALAH orang kita kalau ada benda baru yang dikeluarkan pasti akan mendapat kecaman,” kata penyanyi popular, Sufian Suhaimi apabila digelar penunggang agama oleh pengguna Twitter selepas menjual produk Zikir Pillow by Baby Pian.

Sufian berkata, status terbabit sedikit pun tidak memberi kesan kepada dirinya dan menyifatkan pengguna hari ini lebih bijak menilai mana baik dan buruk.

Sufian berkata, produk itu dikeluarkan bertujuan untuk memberi pelajaran dan bermanfaat buat semua.

“Sebelum Zikir Pillow ini ada di pasaran, sudah banyak produk dijual yang turut menggunakan zikir, doa dan surah sebagai kandungan produk. Cuma produk saya ini adalah yang pertama di negara kita dan Asia. Apabila saya keluarkan, itu yang membuatkan ada segelintir pihak tidak percaya. Jadi, mulalah cakap dan kritik bukan-bukan.

“Sebenarnya masyarakat kita sangat terbuka untuk terima bukan saja untuk diri sendiri tapi buat pembelajaran anak mereka,” katanya.

Sufian berkata, produk itu mempunyai beberapa butang tertentu dengan fungsi berbeza.

“Kalau nak dengar zikir saja, ia ada butang. Begitu juga dengan doa dan surah pilihan. Jika semasa tidur nak dengar semua, boleh tekan butang tidur (sleeping button). Jadi, ia berfungsi secara automatik.

“Paling penting, bantal ini juga ada audio pembelajaran. Ia memang membantu dan memberi manfaat.

“Saya tidak anggap ini sebagai satu isu besar. Ia sebenarnya terpulang kepada individu. Kalau produk ini dipandang dari sudut positif, ia pasti memberi manfaat. Sebaliknya, itu yang dikritik,” katanya.

Terdahulu, pengguna akaun @thevisitorQ memuat naik status berbunyi ‘mmmm lazatnya menunggang agama’ yang ditujukan kepada kelebihan yang ada pada Zikir Pillow by Baby Pian itu.

Status yang dimuatnaik hari ini mendapat lebih 450 ulang ciap dan lebih 400 tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 5:58 PM