SUFIAN. FOTO Saifullizan Tamadi
SUFIAN. FOTO Saifullizan Tamadi
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Sufian Suhaimi, 31, ambil maklum komen netizen mempersoal dan mengaitkan penampilan kekasihnya yang tidak bertudung dengan perniagaan bantal zikir miliknya.

Bagi Sufian, dia terima segala teguran yang berniat ke arah kebaikan bahkan tidak menafikan bersetuju dengan sesetengah komen mereka.

"Saya terima nasihat, komen-komen, dan ada juga betulnya. Apa yang diperkatakan netizen mengenai pasangan dan juga perniagaan memang ada betulnya. 

"Kami memang ambil maklum, bermuhasabah terbadap komen, dan saya mengharap yang terbaik. Saya okay saja. Bagus juga kita ada netizen sebab kadang-kadang kita cuba untuk nasihat.

"Tapi kalau nasihat itu tak jalan, bagi tengok orang cakap apa. Boleh jadi asbab kebaikan juga," katanya pada pelancaran lagu baharunya, Menggenggam Bahagia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Sufian tidak melihat kehidupan peribadi perlu dicampur aduk dengan perniagaannya.

"Saya pun tak rancang nak ada pasangan yang bagaimana. Jodoh ini rahsia Tuhan. Kita pun tak tahu bagaimana pengakhiran hubungan ini. 

"Sebab itu saya ambil langkah yang sangat sederhana. Kalau boleh tak nak terlalu banyak berkongsi. Kita pun tak tahu pengakhiran seseorang itu bagaimana sebenarnya.

"Apa yang saya buat dari segi perniagaan itu adalah cuba untuk berkongsi kebaikan melalui zikir, selawat, atau ayat Al-Quran. Sebab buat perniagaan adalah itu perjuangan saya untuk berdakwah," katanya.

Sufian juga bersyukur kekasihnya yang masih dirahsiakan identiti dan penuntut universiti itu matang berdepan dengan segala bentuk komen diterima.

"Dia sangat matang berdepan ujian itu. Selagi mana perkara itu tidak hina mahu pun keji, kami terima dengan hati terbuka. Dia orang yang baik, begitu juga keluarganya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 11:50 AM