SUFIAN Suhaimi enggan terburu-buru sekalipun rakan seangkatan sudah berumah tangga. FOTO Asyraf Hamzah
SUFIAN Suhaimi enggan terburu-buru sekalipun rakan seangkatan sudah berumah tangga. FOTO Asyraf Hamzah
Zaara Talita

Setelah dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman, penyanyi Sufian Suhaimi meluahkan keterujaan berpeluang pulang ke Mersing, Johor seminggu sebelum 1 Syawal.

Selepas berhadapan pandemik yang melanda negara, Sufian mencipta tradisi baharu tahun ini apabila menziarahi sanak-saudara tiga hari sebelum Aidilfitri.

Tambah Sufian, tradisi pulang ke kampung halaman diteruskan biarpun neneknya sudah meninggal dunia.

"Tahun ini lebih teruja nak beraya sebab sudah dua tahun semua tak dapat merasai suasana Hari Lebaran yang sebenar.

"Saya pulang ke kampung seminggu lebih awal dan menziarahi sanak-saudara tiga hari sebelum Hari Raya. Ini kerana pada hari raya kami peruntukkan untuk meluangkan masa untuk ahli keluarga saja.

"Itu antara kelainan pada tahun ini selepas arwah nenek tiada kerana arwah adalah pengikat kekeluargaan. Hubungan kekeluargaan mungkin tidak seerat dulu jika dibandingkan ketika arwah nenek masih ada.

"Oleh itu, pada tahun ini kami ambil keputusan untuk pulang juga ke kampung bagi mengembalikan kemeriahan beraya seperti dulu. Ibu saya seorang yang sentimental, jadi gerakan itu dimulakan oleh keluarga saya," kata Sufian.

Kongsi Sufian, Aidilfitri pada tahun ini dirayakan dalam keadaan cukup berbeza tanpa kehadiran arwah neneknya.

Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup berpasangan, penyanyi berusia 30 tahun itu memberitahu, dirinya sudah bersedia untuk memegang tanggungjawab sebagai seorang suami, namun enggan terlalu terburu-buru.

Melihat beberapa rakannya yang sudah berumah tangga termasuklah rakan artis, Haqiem Rusli, Sufian menumpang bahagia atas rezeki yang diterima sahabatnya itu.

"Tuhan itu sangat adil dan Dia pastikan akan memberikan rezeki yang seimbang buat hamba-Nya.

"Ada orang dikurniakan rezeki bertemu jodoh awal, ada orang dikurniakan rezeki kerjaya, kawan-kawan dan keluarga yang baik.

"Saya tumpang gembira melihat seorang demi seorang sahabat seindustri telah bertemu jodoh dan menamatkan zaman bujang.

"Itu rezeki mereka, saya percaya setiap daripada kita ada rezeki tersendiri yang Tuhan telah tetapkan," katanya.

Tiada sebarang kriteria mahupun cerewet dalam mencari wanita idaman, Sufian mengakui terbuka untuk mengenali mana-mana wanita yang hadir selepas ini.

"Saya tidak pernah meletakkan sebarang ciri-ciri khas tentang calon isteri tetapi sebaik-baiknya biarlah elok budi pekerti.

"Buat masa ini, saya hanya ingin fokus dengan karier sebagai penyanyi dan mengembangkan lagi bisnes," katanya.

SUFIAN bersyukur perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu memberi manfaat kepada orang lain melalui peluang pekerjaan.  FOTO Asyraf Hamzah
SUFIAN bersyukur perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu memberi manfaat kepada orang lain melalui peluang pekerjaan. FOTO Asyraf Hamzah

Berkongsi mengenai bidang perniagaan, impak Covid-19 menyebabkan Sufian lebih berhati-hati dalam menyusun strategi baik dalam karier nyanyian mahupun dunia perniagaan.

Sufian juga bersyukur perancangan untuk melabur dalam perniagaan produk dikenali sebagai Zikir Pillow by Baby Pian juga dipermudahkan.

Ayah angkat kepada si comel, Faeq Razeeq ini bersyukur perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu memberi manfaat kepada orang lain melalui peluang pekerjaan.

"Saya bersyukur perniagaan ini membuka peluang kepada orang lain dalam meneruskan kelangsungan hidup. Saya sama sekali tidak menyangka apa yang diusahakan ini dipermudahkan dan membantu banyak pihak.

"Bantal audio yang saya usahakan ini mengandungi zikir-zikir, selawat acapella dan surah-surah pilihan serta yang terbaru adalah surah Yassin.

"Saya ingin melihat kanak-kanak membesar dengan surah Yassin kerana ketika saya kecil dahulu, rutin mingguan membaca Yassin sehingga secara langsung boleh menghafalnya.

"Oleh itu, saya mahukan perkara yang sama untuk orang lain. Alhamdulillah perniagaan ini baru diusahakan selama dua tahun dan semakin berkembang baik," kata Sufian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 7:28 AM