AYIE floor88
AYIE floor88
Norhayati Nordin


PENCARIAN penyanyi gantian untuk Ayie yang dilakukan kumpulan Floor 88 mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Sejak pengumuman itu dikongsi dalam Instgram Floor 88 mulai semalam, ribuan rakaman nyanyian diterima mereka.

Pemain keyboard, Eric Fuzi berkata, sambutan sangat di luar jangkaan dan Floor 88 berterima kasih dengan sokongan diberi.

"Untuk hari pertama (semalam), sebanyak 1,000 rakaman nyanyian diterima berserta hashtag #2ndvokalisfloor88. Namun, penyertaan rakaman dihantar hari ini didapati bertambah dan jumlah sebenar belum diperoleh lagi.

"Alhamdulillah, dengan sambutan diterima. Semoga pencarian Floor 88 untuk penyanyi gantian Ayie dipermudahkan dan lancar," katanya.

Semalam, Floor 88 menerusi Instagram berkongsi berita pencarian penyanyi gantian untuk Ayie yang perlu direhatkan seketika.

Kumpulan popular dengan lagu Zalikha, Aqilah dan Hutang itu menerima tamparan hebat apabila Ayie disahkan mengalami masalah peti suara atau vokal koyak yang memerlukan dia berehat selama tiga minggu. Antara kriteria bakat dicari Floor 88 ialah boleh menyanyi dengan baik, berperwatakan menarik, sopan-santun serta pandai mengambil hati.

Mereka yang berminat juga perlu berusia 18 hingga 25 tahun dan terbuka untuk lelaki dan perempuan serta mesti tidak merokok, mengambil dadah serta minuman keras.

Justeru, setiap individu berminat boleh menghantar rakaman nyanyian lagu Floor 88 di Instagram berserta dengan hashtag #2ndvokalisfloor88.

Eric berkata, penghantaran rakaman penyertaan masih dibuka dan Floor 88 akan mengumumkan keputusan muktamad secepat mungkin.

Katanya, penyanyi gantian untuk Ayie harus ditemui segera memandangkan Floor 88 tidak putus menerima undangan persembahan.

“Calon bertuah yang dipilih itu nanti pasti diserapkan sebagai penyanyi solo dan muncul dengan lagu sendiri," katanya.

Pada 14 Januari lalu, Ayie tiba-tiba rebah ketika menyanyikan lagu Aqilah dalam Konsert Gempak NEGERI fm di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:07 PM