PENYANYI Zizi Kirana berkongsi di Instagram Stories.
PENYANYI Zizi Kirana berkongsi di Instagram Stories.
Georgie Joseph


PENYANYI Zizi Kirana terkilan dengan sikap segelintir warganet yang menghina dan memperlekehkan lagunya hanya disebabkan tidak suka terhadap dirinya.

Zizi, 35, berkata, dia tidak kisah jika dirinya dibenci tetapi tidak suka apabila hasil karyanya bersama komposer lain tidak dihormati.

“Kalau nak benci saya, terpulang kerana saya memang tak ambil peduli pun. Tapi jika sudah membabitkan karya orang, tolonglah hormat kerana bukan senang untuk menghasilkan sesebuah lagu,” katanya.

Zizi berkata, lagu terbarunya berjudul Eh bukan dihasilkan oleh dia seorang, tetapi bersama nama besar lain seperti Altimet dan Navin.

“Kalau tak suka dengar lagu itu, senang saja. Jangan dengar langsung atau tukar saja siaran stesen radio jika lagu itu dimainkan. Tidak payahlah nak hina dengan kata-kata kesat,” katanya kepada Harian Metro.

Zizi mengakui, dia perlu bersuara mengenai perkara ini dan menjelaskan bukan mudah untuk membuatkan orang faham terhadap proses membuat lagu.

“Prosesnya menuntut banyak kerja termasuklah pemilihan lagu, menulis lirik, berulang alik ke studio, dengar berkali-kali bunyinya sama ada sudah cukup baik atau tidak. Orang yang faham muzik saja tahu bagaimana susahnya proses itu.

“Justeru, apabila ada yang komen melampau sebegitu, tentu sekali kami sakit hati. Janganlah disebabkan benci, sampai hilang rasa hormat terhadap individu yang bekerja-keras di sebalik lagu itu,” katanya.

Terdahulu, Zizi berkongsi di Instagram Stories sebuah mengenai komen kesat yang ditujukan kepadanya dari Twitter.

Menerusi tweet itu, individu berkenaan menyifatkan lagu Zizi mengganggu lagu-lagu lain jika ia dimainkan di stesen radio. Selain itu, dia turut mendakwa Zizi tidak berbakat sebagai penyanyi selain menulis kata-kata kesat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 5:07 PM