KHODI pertaruh muzik soul menerusi single pertamanya, Ke Mana.
KHODI pertaruh muzik soul menerusi single pertamanya, Ke Mana.
Georgie Joseph

SETIAP pendatang baharu dalam industri muzik tempatan pastinya mahu tampil dengan keunikan tersendiri. Apatah lagi, industri muzik kita kian meriah dengan ramai penyanyi muda yang masing-masing mengidamkan kejayaan.

Tidak terkecuali juga Khodi atau nama sebenarnya Khodijah Kamarul Bahrin, 18, yang kini mengorak langkah mencipta nama.

Mempertaruhkan single sulung berjudul Ke Mana, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini bersungguh untuk menjual bakatnya.

Paling penting, Khodi mahu tampil segar menerusi muziknya walaupun genre nyanyiannya lebih kepada soul dan R&B.

Berbanding ramai bakat baharu yang lebih ke arah pop, dia yakin genre pilihannya itu tepat menggambarkan dirinya sebagai artis.

“Saya memang minat muzik soul sejak dulu. Kalau penyanyi tempatan, saya sukakan Datuk Sheila Majid. Dayang Nurfaizah juga ada kekuatan sendiri membuatkan saya sangat meminatinya. Kalau artis luar, saya minat Etta James yang juga penyanyi soul hebat.

“Saya mula membuat persembahan secara suka-suka pada usia lapan tahun, tapi mula buat persembahan pentas pada usia 10 tahun. Memang sejak kecil saya sudah cukup selesa di pentas dan sedar inilah yang saya mahu lakukan sebagai kerjaya,” katanya.

Menurut penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, dia juga menjadikan nyanyian untuk menonjolkan keyakinan diri.

Pada masa sama, dia tidak mahu berpura-pura dengan identiti sebenar dirinya.

“Saya sebenarnya seorang pemalu, tapi apabila di atas pentas lain jadinya. Saya nak beri apa yang saya tidak berani beri dalam kehidupan seharian serta tunjuk sisi berbeza.

“Pada masa sama, saya cuba untuk tidak terlalu meletakkan harapan kepada penerimaan orang dan cuma mahu menjadi diri sendiri dengan bakat menyanyi yang ada. Kalau boleh, saya tak nak menandingi sesiapa,” katanya.

Khodi juga menyedari pasaran sekarang dikuasai pendengar generasi millennium yang lebih gemarkan muzik ringan. Bagaimanapun, dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai bebanan buat dirinya.

Baginya, sesuatu muzik yang bagus pasti akan mendapat tempat dan dihargai. Disebabkan itu, dia sendiri percaya perjuangannya pasti berhasil seiring dengan kesungguhan dicurahkan.

“Saya sedar genre soul bukannya kegemaran golongan millennium, tapi yang minat sebenarnya ramai juga. Saya bukan berniat untuk tampil kelainan sebaliknya inilah muzik yang tepat menggambarkan saya,” katanya.

Pada masa sama, Khodi juga tidak memberi tekanan kepada dirinya untuk berhadapan cabaran dalam muzik arus perdana. Seboleh-bolehnya dia mahu berseronok dan turut bersyukur keluarganya menjadi penyokong terkuat.

“Saya baru berusia 18 dan masih belajar banyak perkara. Bersedia atau tidak, saya cuma mahu mengikut arus ke mana kerjaya saya boleh pergi. Lagipun, sekarang saya belajar jurusan muzik,” katanya yang turut menyimpan cita-cita mahu melebarkan sayap ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 8:00 AM