ELAINE Daly
ELAINE Daly
Georgie Joseph


PENGARAH Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly terkilan dengan cara pengumuman Kostum Kebangsaan Terbaik di Miss Universe 2019 yang akhirnya disahkan dimenangi peserta Filipina dan bukannya Malaysia.

Elaine berkata, kemenangan terbabit sangat bermakna buat Malaysia, namun hanya diberitahu empat jam kemudian bahawa peserta negara, Shweta Sekhon bukannya pemenang sebenar.

“Saya sangat kecewa bagaimana pengumuman pemenang dalam Miss Universe boleh berlaku sebegitu. Malaysia yang tidak pernah menang apa-apa di Miss Universe sudah bersorak. Namun, empat jam kemudian kami mendapat tahu di Twitter peserta Filipina adalah pemenang sebenar. Saya terpaksa mengambil masa untuk membalas kepada semua orang disebabkan menunggu penjelasan daripada pihak Miss Universe Organisation,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau juga memaklumkan ada menghantar emel kepada Presiden Miss Universe Organisation, Paula Shugart.

“Saya menghantar emel kepada Paula meminta pencerahan dan dia memaklumkan peserta Filipina menang undian dalam talian,” katanya.

Menurutnya, beliau cukup kecewa apabila perkara itu tidak dijelaskan dengan teliti ketika siaran langsung.

“Kepada yang menonton, ia kelihatan seperti Malaysia menang. Kenapa harus menyuruh delegasi tertentu menyarung kostumnya, ditemubual, kemudian diberitahu tidak menang dan sekadar pilihan produksi? Saya kehilangan kata-kata dan reda. Kepada semua yang beri ucapan tahniah, saya ucapkan terima kasih. Shweta dan kostum kebangsaannya akan sentiasa jadi pemenang di hati kami,” katanya.

Terdahulu, Pihak Miss Universe membuat pengumuman rasmi di Twitter pemenang kategori Kostum Kebangsaan Terbaik dimenangi peserta Filipina, Gazini Ganados dan bukannya peserta Malaysia yang diumumkan lebih awal.

Pengumuman terbabit dibuat empat jam selepas Shweta diminta mempersembahkan kostumnya pada siaran secara langsung sewaktu pengumuman kategori itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:25 PM