Ruhainies. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Ruhainies. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Ruhainies sekali lagi tular di laman sosial selepas memuat naik video anggur yang dibeli dengan harga RM148 untuk 600 gram mengandungi 20 biji.

Ruhainies, 27, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, tindakannya itu bukan untuk menunjuk tetapi hanya mahu mengusik kekasihnya yang membeli anggur itu.

“Semalam saya minta dia belikan anggur. Tidak menjangka pula dia beli anggur dengan harga sebegitu.

“Kalau saya beli sendiri dapat yang RM10 atau RM20 pun sudah okey. Asal saja dapat makan buah yang disukai.

“Dia sebenarnya jenis suka bagi orang puas hati. Katanya, saya layak dapat yang terbaik. Macam sebelum ini pun, dia belanja RM1,000 untuk durian,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, apa dikesalkan Ruhainies apabila perkara itu menjadi topik perbincangan warganet di laman Twitter hingga mengutuknya.

Ruhainies memuat naik video anggur yang dibeli dengan harga RM148 untuk 600 gram. FOTO Instagram Ruhainies
Ruhainies memuat naik video anggur yang dibeli dengan harga RM148 untuk 600 gram. FOTO Instagram Ruhainies


“Komen mereka itu tak padan dengan rupa. Bukan main lagi mereka seronok mengutuk mengatakan saya riak. Sedangkan saya kongsi perkara lawak.

“Perkara remeh pun mereka nak jadikan isu. Macam saya ini buat kesalahan berat. Cuba sesekali memandang perkara sebegitu sebagai bahan hiburan.

“Mereka tak bosan dan tak penat setiap hari nak ‘stalk’ Instagram orang? Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada mereka kerana memberi perhatian pada saya. Perkara buruk yang mereka cakap mengenai saya, pahalanya jatuh pada saya,” katanya.

Sebelum ini, Ruhainies pernah mencuri perhatian apabila memuat naik gambar makan Nasi Kandar dalam kereta Ferrari.

Malah, kenyataannya membelanjakan RM2,000 sebulan untuk penjagaan diri turut tular.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 1:10 PM