SHARNAAZ enggan komen kes penceraian dengan isterinya, Noor Nabila. FOTO Zunnur Al Shafiq
SHARNAAZ enggan komen kes penceraian dengan isterinya, Noor Nabila. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ridzuan Abdul Rahman


“TIADA apa saya nak komen,” begitulah kata-kata ringkas pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengenai sebutan kes penceraian dengan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor yang berlangsung hari ini.

Prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan itu menyaksikan kedua-dua belah pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik sebelum ini.

Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail akhirnya menetapkan 4 Disember ini untuk melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) berhubung kes mereka.

Hakam bermaksud proses diperuntukkan mengikut Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam proses itu, mahkamah mempunyai kuasa melantik daripada kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Peguam Syarie yang mewakili Sharnaaz, Datuk Akberdin Abdul Kader menjelaskan, tindakan itu perlu dibuat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut terbabit.

“Keputusan hari ini mahkamah menetapkan pelantikan hakam bagi menyelesaikan semua isu dan mencari jalan terbaik. Kita ada peruntukan undang-undang untuk merujuk kes ini ke hakam pula.

“Dua-dua pihak ada alasan masing-masing dan kalau tiada penyelesaian, mereka ada hak untuk bawa ke peringkat seterusnya iaitu hakam. Kita dah bagi cadangan penyelesaian kepada peguam sebelumnya.

“Ini peguam baru mereka tapi sehingga sekarang kita tak dapat apa-apa lagi jawapan. Jadi kita masih tak tahu apa pendirian mereka.

“Bila dah dapat itu kami akan kaji balik. Kita sekarang ini dalam usaha nak selesaikan semuanya secara terbaik supaya masing-masing hidup aman dan damai,” katanya.

Dalam prosiding itu, Noor Nabila diwakili peguam yang baru dilantik iaitu Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Mahkamah pada 11 September lalu memerintahkan satu JKP dibentuk bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Sharnaaz, 34, atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya pada 30 September lalu.

Tindakan itu dibuat untuk memperbetulkan keadaan serta spekulasi yang berlegar mengenai rumah tangga mereka.

Bagi prosiding JKP, Sharnaaz melantik kakaknya, Dr Sherrini Ahmad Basir Ahmad sebagai wakil manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya, Abdul Halim Khan.

Pada masa sama, bagi permohonan nusyuz yang difailkan Sharnaaz terhadap Noor Nabila, mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017. Mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:01 PM