SHARNAAZ enggan mengulas 'tweet' Neelofa yang didakwa memerlinya dan menganggap ia tidak penting. FOTO Arkib NSTP, Instagram Sharnaaz, Instagram Neelofa
SHARNAAZ enggan mengulas 'tweet' Neelofa yang didakwa memerlinya dan menganggap ia tidak penting. FOTO Arkib NSTP, Instagram Sharnaaz, Instagram Neelofa
Norhayati Nordin


PELAKON Sharnaaz Ahmad, 34, mengakui tidak tahu-menahu mengenai ‘tweet’ ditulis adik iparnya yang juga pelakon dan pengacara popular, Neelofa ditujukan kepadanya.

Melalui ‘tweet’ Neelofa semalam pada jam 1.03 tengah hari dari Manhattan, New York itu, dia menulis, “I just watched the best ‘drama’ ever (Saya baru sahaja menonton ‘drama’ terbaik). Guess who’s the actor? (Teka siapa pelakonnya?). You killed it! (Anda memang hebat).”

Sharnaaz yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, dia tidak tahu mengenainya.

“Saya tak tahu dan tak penting,” katanya ringkas.

Ditanya juga apakah dia ‘individu’ dimaksudkan ‘tweet’ itu, Sharnaaz tetap dengan jawapan tidak tahu.

“Saya tak tahu, mungkin Tom Hanks kot,” katanya.

Sementara itu, menerusi Instagram (IG) stories yang ditulis sekitar 12 jam lalu, Sharnaaz menulis ‘Allah mengetahui dan itu cukup buat saya’.

Selain itu, Sharnaaz turut menulis di IG stories akaunnya, “Terima kasih atas doa semua. Saya doa Allah rahmati setiap insan mendoakan saya dan keluarga. Terima kasih”.

Semalam, pelakon drama Hati Bukan Kristal di TV3 itu dilaporkan menolak permohonan cerai yang difailkan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 34, pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Sharnaaz yang enggan mengulas sebab menolak penceraian itu memberitahu dia mahu mengikut prosedur mahkamah yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya akan mengikuti arahan mahkamah dengan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes penceraian itu dan akan ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) jam 12.30 tengah hari pada 30 Oktober depan.

Untuk rekod, Sharnaaz dan Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 3:22 PM