ELLIKA ditemukan dengan rakan kepada isteri kedua Amar selepas melakukan solat istikharah. FOTO Instagram Ellika Azman
ELLIKA ditemukan dengan rakan kepada isteri kedua Amar selepas melakukan solat istikharah. FOTO Instagram Ellika Azman
Rudy Imran Shamsudin


PENGGIAT teater dan pelakon, Ellika Azman menjelaskan dia menolak untuk bernikah dengan aktor juga pengarah, Amar Ashraf dan memuat naik perkara itu di laman Instagram, selepas mengetahui lelaki itu sebenarnya beristeri dua.

Katanya, dia hanya tahu mengenai perkara itu selepas membuat solat istikharah sebelum bernikah. Mengikut perancangan awal Ellika dan Amar akan bernikah minggu hadapan.

“Selepas melakukan solat istikharah itu saya ditemukan dengan rakan kepada isteri kedua Amar. Menerusi rakannya, saya mencari isteri keduanya dan dari situ baru tahu keadaan serta situasi sebenar.

“Saya rasa tertipu selepas mengetahui yang Amar sebenarnya sudah ada dua isteri. Saya ingat dia hanya ada satu isteri saja. Lebih menyedihkan isteri keduanya kini dalam pantang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Selepas mengetahui perkara itu, Ellika berkata, dia memang tidak mahu meneruskan perancangan untuk bernikah. Begitupun pada awalnya dia tiada niat mahu memalukan pelakon utama drama Tanah Kubur itu.

“Amar tidak tahu yang saya tahu mengenai isu isteri kedua. Sebab saya sudah berjanji dengan isteri kedua untuk merahsiakannya.

“Cuma apabila selepas isteri kedua melahirkan anak dan Amar tidak sekalipun jenguk serta melaksanakan tanggungjawabnya membuatkan saya mengambil keputusan terbabit,” katanya.

Katanya, dia mengenengahkan perkara itu di laman Instagram kerana ingin memberitahu Amar supaya bertanggungjawab kepada isteri keduanya, memandangkan mereka kini sudah putus hubungan.

“Orang mungkin akan menuduh saya macam-macam. Tetapi apa yang saya lakukan ini dengan niat baik.

“Sewaktu berkawan dengan Amar saya tahu dia sudah beristeri, tetapi Amar sendiri yang bersungguh mahukan saya. Malah dia datang bertemu kedua ibu bapa saya bagi menyatakan hasrat untuk bernikah,” katanya.

Ellika berkata, isteri pertama Amar pada awalnya hanya mengesyaki yang mereka berdua mempunyai hubungan sehinggalah tiga bulan sebelum tarikh pernikahan akan dilangsungkan.

“Saya rasa isteri pertama Amar tahu kami mahu bernikah sewaktu Amar merancang untuk membawa saya bertemu dengan keluarganya.

“Ada timbul sedikit isu antara kami dan waktu itulah ibunya menghubungi saya serta marah. Ibunya juga minta saya membayar RM100,000 sekiranya mahu berkahwin dengan anaknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:02 PM