NABIL Ahmad. FOTO Mahzir Mat Isa
NABIL Ahmad. FOTO Mahzir Mat Isa
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BERGELAR pelawak tidaklah mudah. Jika lawak tidak menjadi, mereka akan malu.

Walaupun nama seseorang pelawak itu sudah dikenali, ia bukan jaminan setiap sketsa yang dipentaskanmendapat sambutan dengan gelak ketawa ikhlas.

Pelawak popular, Nabil Ahmad, 36, berkata, dia pernah patah semangat berikutan bahan jenaka yang disediakan tidak membuat penonton ketawa.

“Pada masa itu memang malu, kecewa dan tertekan. Apabila pulang ke rumah, saya menangis. Saya bercakap seorang diri kenapa saya tidak menyediakan jenaka yang lebih baik untuk penonton,” katanya.

Menurut Nabil, akibat rasa malu, terdetik di hatinya meninggalkan karier itu dengan menceburi bidang yang lain.

“Namun, saya gagahkan diri bergelar pelawak sehinggalah berjaya. Kepada pelawak baharu, jika lawak anda tidak menjadi, jangan sekali-kali patah semangat tetapi berusahalah memikat penonton dengan idea yang bernas,” katanya.

Selaku Juara Raja Lawak musim kedua dan pernah memenangi beberapa anugerah, tidak siapa tahu kepayahan yang dilaluinya sebelum ini.

“Atas pentas nampak mudah tetapi nak cari idea melawak sangat sukar. Disebabkan itu, saya melebarkan bakat sebagai pengacara dalam rancangan hiburan,” katanya.

Atas kerinduannya sebagai pelawak, Nabil sesekali menghiburkan penonton di pentas rancangan realiti yang mengumpulkan penyanyi berpengalaman.

Berkongsi kaedah bagaimana dia mengawal jenaka tidak menjadi, Nabil berkata, dia mengalihkan perhatian penonton dengan jenaka spontan yang berada di sekeliling pentas.

“Sepanjang karier ini, saya amat merindui pentas Raja Lawak pada 2008 dengan kebanyakan jenaka menjadi. Kejayaan itu jugalah mengubah kehidupan saya daripada seorang penghantar surat menjadi anak seni,” katanya.

ZIZAN Razak. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ZIZAN Razak. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Sementara itu, pelawak popular yang juga rakan Nabil, Zizan Razak, 35, berkata, setiap pelawak perlu mengambil tahu perkembangan semasa dan mempelbagaikan idea untuk berjenaka.

“Jika lawak tidak menjadi, pelawak itu perlu memiliki pelan B, C dan D. Lawak tidak hanya memerlukan kemahiran sebaliknya bagaimana mengendalikan diri sendiri,” katanya.

Menurut Zizan, pelawak baharu perlu memiliki mental yang kuat jika berdepan jenaka tidak menjadi selain memperbanyakkan kandungan jenaka.

“Sebab itulah setiap pelawak perlu cepat bertindak, jika kelakar tak jadi minta maaf sahaja. Jangan sekali-kali melayan ‘mental down’ (patah semangat) tetapi bersedia di sudut dalaman,” katanya.

Bagi Zizan, mana-mana anak seni amat memerlukan aura termasuk pelawak dan jika mengharapkan kelakar semata-mata ia tidak mencukupi.

“Saya pernah merasai kesukaran apabila tidak dikenali orang sewaktu mula menjadi pelawak. Namun, saya kuatkan diri sehingga bertapak pada hari ini,” katanya.

Zizan menggesa pelawak baharu menggandakan usaha, membuat kajian serta ilmu dan jangan mengulangi jenaka sedia ada.

“Apa yang mahu saya katakan tidak mudah menjadi pelawak dan menjentik hati orang untuk ketawa,” katanya yang bersyukur program Raja Lawak musim pertama mengubah hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:10 AM