SHARNAAZ tidak mahu isu penceraian berpanjangan dan biarlah mahkamah menentukan. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SHARNAAZ tidak mahu isu penceraian berpanjangan dan biarlah mahkamah menentukan. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAKON, Sharnaaz Ahmad, 34, meminta isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 35, menjadi matang dan tidak memberikan lagi kenyataan berhubung proses penceraian mereka.

Sharnaaz berkata, dia bimbang masalah itu bertambah keruh sekali gus memberi kesan terhadap anak mereka, Jebat Jayden Ahmad yang berusia setahun.

"Saya tidak mahu isu ini berpanjangan dan biarlah mahkamah menentukan. Apabila kes (proses penceraian) dibawa di mahkamah, biar semua orang tahu siapa yang memulakannya (mahu bercerai).

"Demi anak, tolong hentikan semua ini. Sejak awal saya beritahu jangan jadikan kes ini kecoh.

"Hari ini mungkin Jebat tidak tahu membaca, selepas lima atau enam tahun dia akan tahu dan bertanya di mana ibu dan bapanya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Jika penceraian yang dimahukan Noor Nabila, Sharnaaz memberitahu dia reda dengan ketentuan Ilahi biarpun ia bukan permintaannya.

Noor Nabila dalam kenyataan hari ini menegaskan keputusan untuk berpisah dicapai secara persetujuan bersama selepas usaha memperbaiki hubungan mereka menemui kegagalan.

"Saya terkejut dengan kenyataan Sharnaaz (sebelum ini) seolah-olah dia tidak menjangkakan permohonan cerai, sedangkan kami bersetuju bercerai secara baik, aman dan damai," katanya.

Noor Nabila sebelum ini memfailkan penceraian terhadap Sharnaaz selepas desas-desus mengenai rumah tangga mereka hangat diperkatakan media.

Terdahulu, kakak kepada Neelofa itu mengakui menerima surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz menerusi aplikasi WhatsApp dan peguam pelakon itu turut mengirimkan butiran sama menerusi e-mel.

“Saya menerima surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz pada 26 Ogos lalu dan dia meletakkan beberapa terma perceraian. Selepas berbincang dengan peguam, kami (saya dan peguam) bersetuju memfailkan kes di mahkamah pada 27 Ogos," katanya.

Krisis rumah tangga pasangan itu menjadi perhatian, hujung bulan lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Noor Nabila memfailkan perceraian terhadap pelakon berkenaan.

Noor Nabila yang berkahwin pada 31 Mac 2017 sebelum ini memuat naik sekeping foto dipercayai di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Instagram Story miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:22 PM