HARAP terus dapat peluang di Malaysia walau pernah berlakon filem Itali.
HARAP terus dapat peluang di Malaysia walau pernah berlakon filem Itali.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Filem Sinaran arahan Osman Ali yang ditayangkan sejak minggu lalu percubaan pertama pelakon kelahiran Singapura, Nadiah M Din, 25, membina nama dalam industri filem Malaysia.

Biarpun filem tribut kepada penyanyi jaz legenda, Datuk Sheila Majid itu terbitan produksi Singapura, Nadiah berharap ia mampu memberi impak kepada kerjaya seni yang baru bermula di sini.

“Jujurnya, saya tidak letak harapan tinggi pada pendedahan saya di sini. Apa lebih penting, saya dapat mengambil bahagian dan bekerja dengan pengarah terbaik Malaysia, Osman Ali. Malah saya juga berpeluang bekerja bersama Izara Aishah dan Lisa Surihani.

“Sinaran adalah batu loncatan sama ada saya boleh terus mendapat peluang di sini (Malaysia) atau tidak,” katanya tenang.

Nadiah akui, Sinaran banyak memberi momen manis buatnya kerana dapat membina silaturahim dengan kru serta tenaga kerja produksi lain.

Nadiah juga bersyukur kerana 2015 boleh dianggap antara tahun bertuah buatnya. Katanya, dia berpeluang berlakon dalam tiga filem di dalam serta luar negara.

“Sebelum Sinaran, saya berlakon filem Itali berjudul Le Badanti arahan Marco Pollini yang ditayangkan di Cannes, Mei lalu. Kemudian Julai lalu untuk filem pendek omnibus, 7 Letters arahan Eric Khoo.

“Peluang demi peluang muncul dan saya bersyukur. Saya tidak terfikir dapat berlakon filem berbahasa asing (Itali) tapi tiba-tiba saja peluang itu muncul.

“Saya juga bukan penari atau penyanyi profesional namun peluang itu juga datang. Dalam Sinaran saya dapat menari dan 7 Letters pula saya dapat menyanyi,” katanya gembira.

Dia percaya setiap peluang yang Tuhan tunjukkan sebenarnya satu petanda bahawa dia perlu berusaha lebih gigih sekiranya mahu terus kekal sebagai anak seni.

Walaupun dalam Sinaran Nadiah membawa watak pelajar senior yang juga koreografer, dia tidak mahu penonton stereotaip dirinya dengan karakter sebegitu sahaja.

Apatah lagi dia juga bakal beraksi dalam drama Mama Zumba sebagai koreografer di Astro Ria, bergandingan bersama Liyana Jasmay dan Kilafairy.

“Saya harap peminat di sini tidak stereotaip saya hanya menari. Saya boleh pelbagai dan masa sama ada yang menghargai bakat saya,” katanya.

Dalam kemeriahan bakat yang ditawarkan, anak pelukis terkenal kelahiran Malaysia, Mohammad Din Mohammad ini akui pernah menolak tawaran berlakon produksi Hollywood, Marco Polo.

Katanya, untuk watak dalam produksi itu, dia perlu melakonkan babak bogel dan intim.

“Saya tanya semula untuk kepastian dan mereka kata memang benar memerlukan saya berbogel dan ada babak intim. Bagi saya, itu adalah isu terbesar yang saya tidak boleh ambil mudah, lalu saya kata tidak sama sekali.

“Jika saya terima juga tawaran Marco Polo, ia sangat tidak bagus untuk kerjaya saya dalam jangka masa panjang. Masyarakat pasti akan terus memberi persepsi buruk mengenai saya,” katanya tegas.

Nadiah akui ada juga yang menasihatinya meluaskan langkah ke Hollywood tapi dia sedar bukan masanya lagi.

Katanya, sebagai pelakon, dia mungkin terpaksa melakonkan babak lebih memalukan keluarga, agama dan bangsanya di sana. Sebab itulah dia lebih selesa terus membina kerjaya dalam lingkungan negara Asia dan masyarakat menerima bakat dia seadanya.

“Saya masih ingat ketika berlakon dalam drama bersirsi jenayah Singapura, In Cold Blood memegang watak pembantu rumah yang didera tuannya.

“Ia berdasarkan kisah benar dan watak itu memang memenatkan kerana saya perlu tahan diri ditampar, dipukul dan dititik lilin panas. Tapi melalui watak itu, orang mula mengenali saya lantas peluang berlakon terbuka luas,” kata­nya.

Di Malaysia, drama bersiri Mata-Mata dan Kitchen Musical banyak membuka mata peminat tempatan mengenali pelakon berdarah campuran Pakistan dan Jawa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:01 AM