CAPRICE hendak jawapan dan tampar manusia yang buat semua ini sebelum berserah kepada Allah SWT. FOTO Asyraf Hamzah
CAPRICE hendak jawapan dan tampar manusia yang buat semua ini sebelum berserah kepada Allah SWT. FOTO Asyraf Hamzah
Syanty Octavia Amry


PENYANYI rap, Caprice berkongsi video kejadian aneh apabila menemui seekor pelesit yang mati terbakar di laman Instagram miliknya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 31, berkata, ada individu yang berniat jahat terhadap dirinya dengan menghantar benda tidak baik seperti itu.

“Lain kali hendak hantar barang, hantarlah yang ada tanduk. Saya baru balik dari tonton filem tiba-tiba jumpa pelesit yang sudah mati dan terbakar dengan rambut terkeluar daripada badannya.

“Saya jarang ambil kisah mengenai makhluk halus, hantu, sihir semua ini. Tetapi sejak kebelakangan ini pelbagai benda pelik sudah terjadi di sekeliling saya dan kawan.

“Saya hendak minta maaf sebab berkelakuan seperti bukan diri sendiri sejak kebelakangan ini,” katanya.

Berang dengan perbuatan individu berkenaan, Caprice seperti memberi amaran kepada mereka yang terbabit.

Dia juga turut menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM30,000 kepada orang ramai yang berjaya mengesan bomoh dan individu mengupah bomoh berkenaan.

“Lebih baik awak berdoa minta pada syaitan tu supaya saya tak jumpa awak. Saya sudah penat ‘bro’, cuma hendak jawapan dan tampar manusia yang buat semua ini sebelum berserah kepada Allah SWT,” katanya.

Caprice sebelum ini pernah mendapatkan rawatan alternatif dan berubat secara tradisional apabila rakannya yang juga penyanyi rap, Zynakal mula bertindak di luar kawalan.

Caprice pernah pergi ke Hulu Langat bagi mendapatkan bantuan seorang ustaz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:18 PM