SAHARUL Ridzwan turunkan berat badannya daripada 90 kilogram (kg) ke 83 kg. FOTO Rosela Ismail
SAHARUL Ridzwan turunkan berat badannya daripada 90 kilogram (kg) ke 83 kg. FOTO Rosela Ismail
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Saharul Ridzwan menurunkan berat badannya daripada 90 kilogram (kg) ke 83 kg untuk menjayakan watak sebagai Leftenan Hafiz dalam filem pertamanya, Coast Guard.

Katanya, sebelum ini, dia mengalami berat badan berlebihan dan kini sedang berusaha keras untuk menurunkan lagi berat badannya.

"Sebelum ini, berat badan saya boleh dikategorikan sebagai berlebihan dan tidak ideal apabila mencecah sehingga 90 kilogram.

“Sekarang, berat saya dah jadi 83 kg dan dalam proses untuk turunkan lagi kepada 78 atau 75 kg," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Saharul, 30, dia juga menerima nasihat daripada rakannya yang juga pelakon, Hairul Azreen.

"Hairul ada berkongsi beberapa tip dengan saya mengenai kecergasan dan dia sendiri pun melakukan transformasi bentuk badannya dalam masa lima minggu.

"Kalau Hairul boleh buat, saya pun mesti boleh buat. Lagi pula, saya perlu nampak sesuai dengan karakter yang dilakonkan iaitu sebagai pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)," katanya.

Menjelang Ogos, Saharul akan mula menjalani penggambaran filem aksi yang berkisar mengenai pegawai Maritim Malaysia itu.

Selain Saharul, filem yang diarahkan oleh pengarah Hashim Rejab itu juga turut dibintangi Julia Farhana, Emma Maembong dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 3:02 PM