Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pengarah drama dan filem, Murali Abdullah nekad menyertai parti PAS dan menyerahkan borang keahlian hari ini.

Murali, 57, sebelum ini yang menyertai parti Amanah hadir dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) mengambil kesempatan untuk menyerahkan sendiri borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, peribadi dan sisi Abdul Hadi yang nyata berbeza dengan tuduhan pihak pembangkang menjadi faktor dia menyertai parti berkenaan.

"Sekian lama saya disuap dengan tuduhan yang tidak berasas terhadap Presiden PAS itu dan menyebabkan saya ingin bersemuka sendiri dengan beliau untuk mengenali dengan lebih dekat.

"Ternyata segala tuduhan itu tidak benar sebaik saya ke rumahnya pada Jun lalu tanpa membuat sebarang temujanji dan melihat sendiri kesederhanaan Abdul Hadi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Murali yang diserang strok sebelah kanan tubuh lebih setahun lalu hadir berkerusi roda sambil ditemani seorang rakan dalam program tahunan itu.

Beliau yang sudah 25 tahun terbabit dalam pengarahan drama dan filem kini mengambil keputusan untuk menetap di Marang, Terengganu dan akan memulakan semula pengarahan drama dan filem dalam masa terdekat dengan membuat dokumentari berkisarkan Abdul Hadi.

"Saya akan kembali menjalankan kerja pengarahan dimulai dengan dokumentari mengenai Abdul Hadi dalam masa terdekat selepas hampir dua tahun tidak mengarah," katanya.

MURALI Abdullah menyertai parti PAS dan menyerahkan borang keahlian ketika hadir dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di sini hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MURALI Abdullah menyertai parti PAS dan menyerahkan borang keahlian ketika hadir dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di sini hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 3:53 PM