AZHAN Rani berlakon dalam telefilem Sesekali.
AZHAN Rani berlakon dalam telefilem Sesekali.
Syafil Syazwan Jefri


SEBAGAI pelakon tentunya skrip dan jalan cerita menjadi perkara pertama dilihat sebelum menerima sesuatu tawaran.

Bagi pelakon serba boleh Azhan Rani, dia terbuka untuk melakonkan apa sahaja watak bagi mengembangkan bakat lakonannya.

Menurut Azhan, dia bersedia bekerja dengan mana-mana pengarah muda dan baru. Kata-katanya itu dibuktikan apabila dia membintangi telefilem Sesekali arahan Hisyamudin Ahmad.

“Hisyam bekas pelajar saya dan sebagai gurunya, saya bangga dengan pencapaiannya hari ini sebagai pengarah.

“Lebih bangga apabila saya ditawarkan untuk berlakon di bawah arahannya,” kata Azhan.

Tambah Azhan, ini kali kedua Hisyam membuat tawarkan kepadanya untuk berlakon.

“Tiga tahun lalu, dia pernah melamar saya untuk menjayakan drama. Namun ketika penggambaran baru sahaja mahu bermula, bapa saya meninggal dunia.

“Jadi, saya terpaksa tolak tawaran itu untuk uruskan hal keluarga terlebih dahulu. Kini saya ‘membayar hutang’ kepadanya dengan berlakon dalam Sesekali,” katanya.

Bercerita mengenai telefilem yang akan ditayangkan di TV2 pada 16 Jun ini, Azhan berkata, ia sebuah karya yang matang.

“Ini karya matang daripada Unit Drama TV RTM. Saya dapat rasakan Sesekali mampu menjadi penanda aras terbaik untuk drama dan telefilem terbitan RTM selepas ini,” katanya.

Seperkara lagi yang menarik perhatiannya untuk terbabit dalam telefilem itu kerana barisan pelakonnya.

“Semua pelakon yang menjayakan telefilem ini tahu tanggungjawab mereka. Mereka juga sangat serius ketika bekerja dan itulah antara faktor mengapa saya bersetuju menjadi sebahagian daripada projek ini,” katanya.

Namun sebagai penggiat seni, Azhan mengakui ada beberapa perkara yang masih boleh diperbaiki dalam pembikinan karya itu.

“Bagi saya, ada beberapa benda lagi yang boleh diperbaiki. Antaranya hubungan dan interaksi antara karakter boleh diperkuatkan lagi,” katanya.

Secara ringkas, Sesekali memaparkan kehidupan Adeng, lakonan Azhan dan juga Amrin, lakonan Beto Kusyairy. Mereka punya kehidupan tersendiri dan berdepan dengan liku hidup bersama anak masing-masing.

Sesekali adalah adaptasi puisi dengan judul sama karya Siti Zaleha Hashim yang pernah diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2006. Ia turut diterbitkan dalam bentuk novel yang ditulis Lily Haslina Nasir.

Selain Azhan dan Beto, Sesekali yang akan ditayangkan sempena sambutan Hari Bapa turut dibintangi Noorkhiriah, Hariry Jalil, Puteri Rafasya dan Shazman Isaac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:30 AM