BETO Kusyairy.
BETO Kusyairy.
Syafil Syazwan Jefri


ANAK seni sejati selalunya bersungguh-sungguh bekerja untuk hasilkan karya yang berkualiti.

Itulah yang diperjuangkan pelakon, Beto Kusyairy dalam perjalanan kerjayanya.

Menurutnya, selaku pelakon, dia tidak menolak jika ada stesen TV yang hasilkan karya untuk mengejar ‘rating’ dan ada juga yang mahu sajikan karya berkualiti untuk penonton.

Secara tak langsung, situasi itu juga membuatkan Beto selesa dan pada masa sama, menyajikan kepelbagaian buat penonton.

“Jika ditanya pendapat saya mengenai situasi drama TV tempatan, saya suka dengan situasi sekarang. Ada stesen TV yang lebih mengejar ‘rating’ untuk drama-drama tayangan mereka.

“Sementara itu, RTM pula lebih fokus menerbitkan drama-drama berkualiti. Jadi, ini memberi variasi kepada penonton untuk memilih drama atau telefilem yang mereka ingin tonton,” katanya.

Beto yang kini membintangi telefilem berjudul Sesekali yang akan ditayangkan RTM, juga berharap supaya Unit Drama TV RTM terus menyajikan naskhah berkualiti buat penonton.

“Harapan saya supaya Unit Drama TV RTM akan terus menerbitkan drama-drama dan telefilem berkualiti untuk disajikan kepada penonton,” katanya.

Bercerita mengenai telefilem Sesekali arahan Hisyamudin Ahmad, Beto berkata, naskhah itu terlalu kuat dan bagus untuk ditolak.

“Pengisian naskhah itu sendiri sudah terlalu kuat dan membuatkan saya terus terima. Ini kali pertama saya bekerja bawah arahan Sham tapi kebanyakan pelakon lain adalah kawan-kawan saya.

“Jadi, saya selesa ketika berada di set dan semua pun dah tahu cara kerja masing-masing,” katanya.

Apa yang menarik, watak Amrin yang dilakonkan Beto mengimbau kenangan sewaktu bekerja sebagai maskot satu ketika dulu.

“Pada 2003, saya pernah bekerja sebagai maskot. Jadi, apabila melakonkan watak Amrin dalam telefilem ini, ia mengingatkan saya kepada kenangan itu. Sedikit sebanyak, pengalaman saya bekerja sebagai maskot membantu saya membawa watak itu,” katanya.

Sesekali diadaptasi daripada puisi dengan judul sama karya Siti Zaleha Hashim yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2006.

Sesekali diterbitkan dalam bentuk novel yang ditulis Lily Haslina Nasir.

Selain Beto, ia dibintangi Azhan Rani, Noorkhiriah, Hariry Jalil, Puteri Rafasya dan Shazman Isaac dan akan ditayangkan Jumaat ini menerusi TV2, jam 9.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:00 AM