BERGANDING dengan Allahyarham Sudirman dan DJ Dave.
BERGANDING dengan Allahyarham Sudirman dan DJ Dave.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMUDA bernama Mohd Dahlan Zainuddin mencuri tumpuan masyarakat apabila memenangi kategori Persembahan Keseluruhan Terbaik dalam pertandingan Bintang RTM pada 1975.

Bermula dari situlah, lahir nama komersial Dhalan Zainuddin yang tampil dengan lagu popular Kisah Seorang Biduan.

Selain lagu itu, lagu lain nyanyiannya iaitu Joget Kaki Lima, Ketika Kemiskinan Menanti Di Pintu dan Sendiri Lagi.

Populariti Dhalan berada pada tahap tersendiri kerana beliau juga mencipta sejarah sebagai penyanyi tempatan pertama yang mendapat peluang mengadakan konsert di Stadium Negara pada 1978.

Persembahan ini mendapat sambutan hebat daripada peminat yang begitu teruja dengan popularitinya ketika itu.

Sebagaimana penyanyi lain, populariti yang dikecapi membawa Dhalan membintangi filem yang diangkat daripada judul lagu popularnya, Kisah Seorang Biduan yang menggandingkannya dengan Gaya Zakri pada 1979.

Tidak ketinggalan, keterampilannya yang menarik turut membuatkan dia dilamar sebagai hos program televisyen popular ketika itu iaitu Hiburan Minggu Ini (HMI) sekitar 1970-an.

Peminat di setiap rumah pasti akan ternanti-nanti kelibatnya setiap kali program ini berlangsung. Dia sememangnya bergelar superstar pada zamannya.

Sikapnya yang ramah dan mudah mesra membuatkan beliau disenangi semua pihak.

DHALAN berduet dengan Allahyarham Azean Irdawaty dalam satu persembahan.
DHALAN berduet dengan Allahyarham Azean Irdawaty dalam satu persembahan.

Selain menyanyi, Dhalan juga mempunyai kerjaya tetap sebagai Pengurus Pengiklanan (Supplemen) The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) pada 1980-an.

Di NSTP, Dhalan yang mesra dengan panggilan Dell juga aktif dalam Kelab Sukan dan pernah menjadi pengurus pasukan hoki NSTP pada 1986.

Selepas meninggalkan NSTP, Dhalan beralih menyertai syarikat rakaman NSR dan Sony Music Entertainment.

Kegigihannya mencari rezeki untuk menyara keluarga wajar dipuji. Bagaimanapun sebagai manusia, beliau turut berdepan ujian getir apabila anak ketiganya, Mohd Akasya Iman disahkan menghidap leukemia.

Ia bagaikan satu tamparan hebat buatnya dan dia berusaha mencari pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa Iman.

Namun, urusan kerja tetap berjalan lancar ibarat tiada masalah yang berlaku. Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan takdir kerana Iman akhirnya dijemput illahi pada usia 13 tahun dan Dhalan reda dengan apa yang berlaku.

Dhalan mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Effa Rizan pada 1977 dan dikurniakan empat anak iaitu Natasha Idha, 40, Mohd Danial, 35, Mohd Akasya Iman dan Nur Athinia Ines, 24.

Dhalan juga seorang yang aktif bersukan terutama bermain bola sepak dan boling. Oleh itu, dia seakan-akan tidak nampak dimakan usia.

DHALAN (berdiri kiri) ketika menguruskan pasukan hoki NSTP pada 1986.
DHALAN (berdiri kiri) ketika menguruskan pasukan hoki NSTP pada 1986.

Jasanya dalam bidang hiburan mendapat penghargaan daripada Sultan Pahang apabila dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang ketika itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Pada awal Julai 2016, Dhalan diserang angin ahmar ketika berada di Kangar, Perlis dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah.

Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan keadaan kesihatannya beransur pulih. Malah dia juga mampu kembali menyanyi biarpun nyanyiannya tidak selancar dulu.

Bagaimanapun, tiada siapa yang mampu menolak takdir. Sabtu lalu, Dhalan dikejarkan ke Hospital Selayang selepas diserang angin ahmar buat kali kedua.

Selama empat hari koma, beliau akhirnya meninggal dunia pada usia 78 tahun, jam 9.48 malam Selasa.

Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:10 AM