EFFA (kiri) dan Natasha (kanan) reda dengan pemergian Dhalan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
EFFA (kiri) dan Natasha (kanan) reda dengan pemergian Dhalan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ridzuan Abdul Rahman


“INI kelebihan yang Allah berikan kepada abang. Dia pergi dengan tenang pada 23 Ramadan,” kata Datin Effa Rizan menjelaskan mengenai kematian suaminya, Datuk Dhalan Zainuddin.

Dhalan, 78, yang koma selama empat hari selepas dimasukkan ke Hospital Selayang, Sabtu lalu akibat serangan angin ahmar (strok) buat kali kedua, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.48 malam tadi.

Effa, 57, turut menafikan membuat keputusan menghentikan alat bantuan sokongan hayat suaminya kerana Dhalan tidak menggunakan peralatan itu.

“Abang bernafas sendiri dan hanya mendapat sedikit bantuan oksigen. Mulanya dia kuat, tapi lama-kelamaan nafasnya lemah dan diberikan sedikit bantuan oksigen.

“Abang tidak mampu bertahan dan hayatnya hanya setakat ini apabila akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.48 malam.

“Saya dan anak serta kenalan, Datin Zaleha dan Datuk DJ Dave ada di sisi abang pada saat terakhirnya,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, walaupun suaminya mempunyai masalah strok, dia masih bersemangat untuk menyanyi dan akan merajuk jika kemahuannya tidak dituruti.

“Kali terakhir dia beraksi ketika persembahan sempena program berbuka puasa di Kelab Darul Ehsan, Ampang.

“Seperti biasa dia menyanyikan lagu popularnya Kisah Seorang Biduan dan Joget Kaki Lima kerana lagu ini sering mendapat permintaan ramai.

“Jiwanya adalah jiwa seni dan saya ikutkan saja kerana itu yang boleh buat dia gembira,” katanya.

Ketika hayatnya, Dhalan dan Effa dikenali sebagai pasangan bahagia dan menurut Effa, dia sukar mengulas perasaannya selepas ini.

“Susah untuk saya cakap kerana belum melalui situasi ini. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah.

“Saya akan tinggal dengan anak bongsu dan dua lagi tinggal berdekatan kediaman kami.

“Tak dinafikan saya akan merindui abang. Kami dah bersama selama 42 tahun. Orangnya lembut dan bukan pemarah. Banyak kenangan manis yang disimpan bersamanya. Pasti saya akan merasai kesan kehilangan abang selepas ini,” katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1977 dan dikurniakan empat anak iaitu Natasha Idha, 40; Mohd Danial, 35; Mohd Akasya Iman (meninggal dunia) dan Nur Athinia Ines, 24.

ANTARA rakan artis yang menziarah keluarga arwah Dahlan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANTARA rakan artis yang menziarah keluarga arwah Dahlan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu Natasha berkata, majlis berbuka puasa anjurannya pada 22 Mei lalu menjadi pertemuan terakhir dia dan bapanya.

“Saya ambil kesempatan cuti sempena Nuzul Quran dengan mengajak keluarga kami berbuka puasa di sebuah restoran di Ampang.

“Kebetulan suami pun ada bersama kerana dia kerja di luar negara dan jarang dapat meluangkan masa bersama kami.

“Perbualan kami hanya berkisar mengenai raya. Saya pun dah belikan dia baju raya dan berharap ayah dapat pakai ketika raya,” katanya.

Ines pula melahirkan perasaan sedih untuk berdepan pengalaman pertama menyambut Aidilfitri tanpa ayahnya.

“Ayah tak banyak cakap. Saya selalu layan dia makan dan minum. Sekiranya nak minum Nescafe, dia selalunya minta saya buatkan.

“Kali terakhir saya berjumpanya ialah petang Sabtu lalu sebelum keluar berbuka puasa di luar.

“Ayah sangat penyayang dan pandai mendidik anaknya. Dia seorang ayah yang baik dan saya pasti sedih kerana beraya tanpanya di sisi,” katanya.

Jenazah Allahyarham Dhalan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 2.30 petang.

Terdahulu, jenazah yang ditempatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur sejak malam tadi menerima penghormatan ramai rakan artis antaranya Datuk Yusof Haslam, Uji Rashid, Habsah Hassan, Ameng Spring, Hasnol dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 3:40 PM