SELESA digelar ‘Pencinta Wanita’. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SELESA digelar ‘Pencinta Wanita’. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


MENANG tempat ketiga program Big Stage menaikkan populariti pelakon dan penyanyi Afieq Shazwan atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamro.

Bukan hanya menyerlah dalam karier seni, jejaka berusia 22 tahun itu juga dikatakan menjadi kegilaan ramai gadis.

Bersua muka dengannya pada sesi fotografi baru-baru ini, Afieq yang berwajah ‘jambu’ mengakui berkawan dengan ramai wanita.

“Saya suka berkawan rapat dengan wanita. Mungkin kerana sikap saya yang suka mengambil berat.

“Jadi, kebanyakan mereka (rakan perempuan) senang berkawan dengan saya. Namun, hubungan itu atas dasar persahabatan, tidak lebih daripada itu.

“Lagi pun, masih terlalu awal untuk saya bercinta. Buat masa sekarang, biarlah fokus mengukuhkan karier dulu,” katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang dilabel sebagai ‘pencinta wanita’, Afieq berkata dia tidak kisah dengan gelaran itu dan menerimanya dengan terbuka.

“Sebagai lelaki, memang patut saya jadi pencinta wanita. Apatah lagi, saya ada ibu dan seorang kakak.

“Cuma, tak sangka apabila keluar dengan ibu, Rafidah Asyikin, 45, ada yang beranggapan beliau teman wanita saya.

“Begitu juga kalau keluar dengan kakak. Pasti ada peminat yang menghantar mesej di Instagram (IG) saya bertanya mengenainya.

“Apapun, saya akan berterus-terang. Bagi saya, memberi penjelasan itu lebih baik kerana pertanyaan itu pun untuk kepastian,” katanya.

Beralih perihal karier nyanyian, Afieq berkata dia kini tampil dengan single kedua berjudul Darjat.

Video muzik lagu ciptaannya bersama Gouffran dan Ibnu itu dirakam di Jepun.

ENGGAN berbicara mengenai cinta, mahu lebih fokus terhadap kariernya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ENGGAN berbicara mengenai cinta, mahu lebih fokus terhadap kariernya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Bekerjasama dengan wanita dari Jepun, Minami Nakanowatari, Afieq berkata persahabatan mereka terjalin sejak beberapa tahun lalu.

“Memandangkan single Darjat ini menjurus pada kisah cinta, saya cuba menghasilkan ‘mood’ sesuai dalam penceritaan.

“Apatah lagi, saya sendiri pun pernah ada pengalaman putus cinta. Jadi, tiada masalah untuk menjiwai single Darjat ini,” katanya.

Hingga kini, video muzik rasmi single Darjat di YouTube mencatat lebih 189, 000 tontonan manakala lirik video pula 224,000 tontonan.

Ada kumpulan ‘WhatsApp’ peminat

Menyedari populariti insan seni dikecapi menerusi sokongan peminat, Afieq ada cara tersendiri mendekati pengikutnya.

Menurut Afieq, dia menyediakan talian khas untuk peminat setianya.

“Menerusi talian khas itu, saya mewujudkan ‘WhatsApp group’ untuk ahli kelab peminat Afieq Shazwan Fantastic bertanya soalan.

“Apa saja soalan dalam ‘WhatsApp group’ itu, saya akan jawab termasuk selalu ucap selamat pagi kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Afieq berkata demi menjaga hati peminatnya dia takkan menjawab sebarang pertanyaan dikirim secara peribadi.

Jelasnya, hanya soalan dalam ‘WhatsApp group’ saja akan dilayan. Itu lebih memudahkan semua ahli dalam kumpulan mendapat maklumat.

Sudah sedekad memperjuangkan bakat seninya, Afieq kini memiliki 600,000 pengikut di IG yang mojaritinya perempuan.

Terdahulu, Afieq memulakan langkahnya dalam karier seni menerusi pertandingan Idola Kecil 1 di TV9 pada 2008.

Namun begitu, bakatnya lebih menjadi perhatian dalam bidang lakonan menerusi drama Elly & Epit yang dibintangi bersama pelakon Sweet Qismina pada 2011

MEMPUNYAI grup WhatsApp dengan peminatnya sendiri. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
MEMPUNYAI grup WhatsApp dengan peminatnya sendiri. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:01 AM