HAIZA menyifatkan irama dangdut adalah akar umbinya sejak dulu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
HAIZA menyifatkan irama dangdut adalah akar umbinya sejak dulu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal


“SAYA tidak perlu buat gimik untuk muncul dengan karya baru seperti segelintir artis lain.

“Sebagai penyanyi berpengalaman, saya mahu ‘jual’ nama sendiri untuk menarik peminat mendengar lagu ini,” kata penyanyi Haiza ketika mengulas mengenai single barunya Young and Gentleman yang juga ciptaan komposer serta penyanyi terkenal Aizat Amdan dan Mel Ramlan itu.

Menurut penyampai radio Kool FM dan pemilik nama sebenar, Rohaizah Nordin dia juga percaya dengan kekuatan lagu Young and Gentleman untuk menarik peminat.

“Saya juga puas hati dengan hasil karya Aizat dan percubaan pertamanya menghasilkan lagu rentak pop dangdut ini.

“Walaupun lagu rentak dangdut ia adalah elemen dangdut moden dan suntikan elemen dangdut baru,” katanya.

Haiza ditemui pada majlis pelancaran single, muzik video karaoke Young and Gentleman yang berlangsung di pusat beli-belah The Garden Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya kenapa dia masih mengekalkan elemen dangdut, kata penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug itu, irama dangdut adalah akar umbinya sejak dulu.

Katanya, dia pernah muncul dengan lagu pop balada tiga tahun lalu tetapi kurang dapat sambutan peminat.

“Walaupun boleh nyanyi lagu balada tapi jiwa saya tidak pernah mati dengan irama dangdut.

“Saya tidak kisah orang nak kecam pun kerana sudah lama menyara hidup dengan lagu dangdut sejak dulu.

“Setiap kali buat persembahan peminat tetap minta saya menyanyi lagu dangdut juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:26 PM