PENYANYI, Shiha Zikir. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
PENYANYI, Shiha Zikir. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Syafil Syazwan

“SAYA tak berani cakap bila akan berkahwin. Perancangan memang ada tetapi belum tahu bila ia akan berlangsung,” kata penyanyi Shiha Zikir, 32, yang mengakui enggan lagi mengulas soal mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Shiha kerap diajukan pertanyaan bilakah akan berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Arul memandangkan sudah 10 tahun bercinta.

“Setiap kali ada yang bertanya mengenai perkara ini, saya akan beritahu sama ada hujung tahun atau menyatakan tarikh yang dirancang.

“Namun, apabila rancangan itu tidak berjalan seperti yang diharapkan, orang akan cakap macam-macam.

“Saya belajar daripada pengalaman dan memilih untuk tidak mengulas mengenainya lagi,” kata Shiha.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Jagakan Dia itu, kekasih yang juga pengurusnya turut meminta agar dia fokus kepada karier seni terlebih dulu.

“Dia tidak terlalu mendesak saya untuk berkahwin. Dia mahu saya fokus melebarkan kerjaya seni,” katanya.

Ditanya sama ada sepanjang 10 tahun itu dia pernah didekati lelaki lain, Shiha tidka menafikannya.

“Bohonglah kalau saya cakap tak ada. Sebelum ini ada orang kenamaan cuba mendekati saya tetapi saya tolak dan Arul pun tahu.

“Kalau mereka nak jumpa saya akan ajak Arul. Jadi, mereka akan batalkan pertemuan itu dan berundur,” katanya.

Terbaru, Shiha akan terbang ke Indonesia untuk menjalani penggambaran video muzik single Pipiyama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 3:41 PM