Sudirman Mohd Tahir


“ALHAMDULILLAH, wang bagi kos pembedahan anak sudah cukup. Insya-Allah, dia akan menjalani pembedahan Khamis ini. Doakan semoga semuanya selamat,” kata bekas pemain dram Search, Yazit Ahmad, 57, mengenai keadaan terkini anaknya, Shahmirnuri, 34, yang disahkan mengalami bengkak jantung.

Yazit ketika ditemui di Hospital Serdang, di sini, semalam, mengucapkan terima kasih kepada penderma yang sudi menghulurkan bantuan bagi menampung kos pembedahan anaknya yang mencecah RM40,000 itu.

Shahmirnuri akan menjalani pembedahan Khamis ini.

Apa yang diharapkan ketika ini adalah doa daripada orang ramai supaya pembedahan anaknya berjalan lancar.

“Terima kasih juga kepada Harian Metro yang sudi menyiarkan kesusahan saya dalam mendapatkan dana ini. Selepas artikel mengenai Shahmirnuri disiarkan,ia terus tular. Dalam masa sama, saya juga ada berkongsi di Facebook.

“Sejak itu, ramai yang membantu. Bukan saja dalam kalangan rakan dan keluarga, tetapi peminat juga. Mereka semua sangat baik hati. Hanya Allah saja yang dapat membalas budi mereka.

YAZIT bersama isterinya, Ramlah Ahmad dan Shahmirnuri di Hospital Serdang. -Foto Nurul Shafina Jemenon
YAZIT bersama isterinya, Ramlah Ahmad dan Shahmirnuri di Hospital Serdang. -Foto Nurul Shafina Jemenon

“Walaupun ada yang cakap sumbangan mereka tidak banyak, bagi saya ia sudah cukup dan saya sangat bersyukur. Apa yang saya harapkan sekarang, doakan semoga pembedahan anak saya Khamis ini berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro.

Yazit berkata, pada mulanya merancang untuk menjual rumah dan dua kereta miliknya jika gagal mendapatkan dana.

“Itu jalan terakhir saya, tetapi dalam tempoh singkat memang susah nak cari pembeli. Jadi, saya cuba ‘plan B’ dengan meletakkan di Facebook selain meminta bantuan rakan wartawan menghebahkan kisah saya ini. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“Saya cakap pada anak, selagi saya hidup saya akan cuba sehabis baik untuknya. Dalam keadaan kesihatan saya yang tidak menentu ini juga, saya harus kuat,” katanya.

Sementara itu, Shahmirnuri atau Boy berkata, dia terkejut dan tidak menjangka disahkan terkena bengkak jantung.

“Sewaktu dimaklumkan perkara itu oleh doktor, saya terkejut dan dalam masa sama sedih. Sebelum ini, saya tak pernah kena dan tidak ada penyakit lain.

“Macam-macam juga saya fikir ketika itu. Kalau nak cerita memang panjang. Apa pun, saya reda dan anggap ini ujian Allah SWT,” katanya.

Boy berkata, dia mula dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selama lapan hari sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang sejak tiga minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:59 PM