SHERRY Ibrahim kini bebas mempromosikan mana-mana produk kecantikan. FOTO Nurul Shafina Jemenon.
SHERRY Ibrahim kini bebas mempromosikan mana-mana produk kecantikan. FOTO Nurul Shafina Jemenon.
Najiy Jefri


PELAKON Sherry Ibrahim memohon agar orang ramai berhenti bertanya mengenai jenama sebuah produk kosmetik yang pernah membabitkan namanya dua tahun lalu.

Sherry berkata, dia mengakui kerap dihujani mesej peribadi daripada pengguna produk itu sehingga kini.

“Saya tidak lagi bersama produk itu. Saya sudah menjual semua saham dan sekarang ia diuruskan pihak lain.

“Saya akui tanggungjawab yang dipikul sebelum ini amat besar tetapi sekarang saya bukan lagi pihak yang boleh menjawab sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai produk itu.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menjawab satu persatu komen atau mesej peribadi kerana bukan lagi tanggungjawab saya,” katanya.

SHERRY menegaskan dia bukan lagi duta mana-mana produk kecantikan. FOTO Instagram
SHERRY menegaskan dia bukan lagi duta mana-mana produk kecantikan. FOTO Instagram

Meskipun nama Sherry sering dikaitkan dengan jenama produk itu, dia mengakui masih menerima tawaran untuk mempromosikan produk kecantikan jenama lain.

“Saya kini bebas dan tiada halangan untuk mempromosikan sebarang produk.

“Saya akui produk sebelum ini ada impak dan ia memberi satu kepuasan kepada diri saya apabila segala usaha keras selama ini berbaloi.

“Cuma, sekarang saya tidak boleh berkongsi sebarang maklumat mengenai produk terbabit lagi,” katanya.

Semalam Sherry memuat naik status di Instagram miliknya untuk memaklumkan dia tidak lagi terbabit dengan sebuah jenama kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 4:47 PM